AME Elite peroleh kontrak RM120 juta bina hab pembuatan sistem penyejukan pusat data di Nilai

LocalBusiness & Finance
27 Oct 2026 • 5:18 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

AME Elite peroleh kontrak RM120 juta bina hab pembuatan sistem penyejukan pusat data di Nilai Image from: AME Elite peroleh kontrak RM120 juta bina hab pembuatan sistem penyejukan pusat data di Nilai sarah27/10/2026 - 17:18 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 27 Okt - AME Elite Consortium Bhd (AME Elite) memperoleh kontrak bernilai RM120 juta bagi membina hab pembuatan dan pengujian sistem penyejukan di Nilai, Negeri Sembilan, yang akan menyokong keperluan pusat data, kecerdasan buatan (AI) dan industri semikonduktor di rantau Asia Pasifik.

 

Kemudahan seluas kira-kira 30,000 meter persegi itu akan dikendalikan oleh BAC Malaysia Sdn Bhd bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap sistem penyejukan pusat data di rantau Asia Pasifik.

 

Dalam kenyataan hari ini, AME Elite berkata, kontrak berkenaan diberikan oleh Rock Link Sdn Bhd kepada cabang pembinaannya, AME Construction Sdn Bhd, dengan tempoh pelaksanaan selama 14 bulan bermula Oktober 2026 dan dijangka siap menjelang Disember 2027.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Eksekutif AME Elite, Dylan Tan Teck Eng berkata, perkembangan rantaian bekalan teknologi global mendorong peningkatan permintaan terhadap kemudahan perindustrian khusus yang memenuhi piawaian teknikal tinggi.

 

"Keupayaan pembinaan perindustrian dalaman kami membolehkan kemudahan kompleks disiapkan dalam tempoh yang lebih singkat, di samping memenuhi keperluan pelanggan multinasional.

 

"Projek ini mencerminkan keupayaan kami menyokong pelanggan yang mahu mewujudkan dan mengembangkan operasi pembuatan serta teknikal mereka di rantau ini, sekali gus mengukuhkan kedudukan kami sebagai rakan pembangunan perindustrian khusus yang berpengalaman," katanya.

 

Terletak di Kawasan Perindustrian Nilai, Mukim Labu, Seremban, projek itu merangkumi sebuah kilang setingkat, pejabat kejuruteraan serantau dua tingkat serta bangunan sokongan yang direka untuk memenuhi piawaian pensijilan 'LEED Gold' dan 'FM Approved'.

 

Kilang berkenaan akan menghasilkan pelbagai sistem penyejukan BAC termasuk menara penyejukan litar tertutup, penyejuk adiabatik, sistem hibrid dan penyelesaian penyejukan cecair, selain dilengkapi makmal kawalan iklim untuk membangunkan serta menguji teknologi penyejukan yang sesuai bagi persekitaran tropika.

 

Kontrak terbaharu itu menambah portfolio projek pembinaan dan kejuruteraan luaran AME Elite, yang mempunyai buku tempahan bernilai RM485.7 juta setakat 30 Jun 2026, sebelum mengambil kira kontrak baharu tersebut.

 

Menurut pemakluman kepada Bursa Malaysia, projek berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2027, tanpa menjejaskan struktur modal saham atau pegangan saham syarikat.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved