Anak syarikat TM terima kelulusan projek kabel dasar laut SALAM bernilai sehingga RM2.7 bilion

LocalTechnology
17 Nov 2026 • 2:13 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Anak syarikat TM terima kelulusan projek kabel dasar laut SALAM bernilai sehingga RM2.7 bilion Image from: Anak syarikat TM terima kelulusan projek kabel dasar laut SALAM bernilai sehingga RM2.7 bilion sarah17/11/2026 - 14:13 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Nov - Anak syarikat milik penuh Telekom Malaysia Bhd (TM), TM Technology Services Sdn Bhd (TM Tech), menerima notis kelulusan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi melaksanakan projek kabel dasar laut Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) Bahagian 1.

 

Projek yang mempunyai kos maksimum diluluskan sebanyak RM2.7 bilion itu akan menghubungkan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, dengan pelaksanaan dijadualkan bermula pada 15 Disember 2026 dan siap secara berperingkat menjelang suku pertama 2030, tertakluk kepada penerimaan rasmi oleh TM Tech.

 

Menurut makluman TM kepada Bursa Malaysia hari ini, MCMC turut melantik TM Tech sebagai penyedia perkhidmatan sejagat yang bertanggungjawab terhadap pemasangan kemudahan rangkaian dan penyediaan perkhidmatan bagi projek berkenaan.

 

Bagaimanapun, TM menjelaskan bahawa syarikat itu masih meneliti terma dan syarat notis kelulusan tersebut sebelum membuat keputusan mengenai penerimaan rasmi, yang turut tertakluk kepada proses semakan serta kelulusan dalaman.

 

TM Tech kendali empat segmen kabel dasar laut

Sekiranya menerima pelantikan itu secara rasmi, TM Tech akan bertanggungjawab terhadap perancangan, reka bentuk, kejuruteraan, pembuatan, pembekalan, pemasangan, penyepaduan, pengujian dan pentauliahan keseluruhan sistem kabel dasar laut SALAM.

 

Skop projek itu merangkumi empat segmen kabel dasar laut, termasuk kerja marin, pemasangan kabel darat, sistem penghantaran, peralatan bekalan kuasa serta sistem pengurusan rangkaian dan infrastruktur sokongan yang diperlukan.

 

TM berkata, pelaksanaan projek dan kesannya terhadap prestasi kewangan kumpulan masih bergantung kepada penerimaan rasmi notis kelulusan serta pematuhan semua syarat yang ditetapkan.

 

Perkukuh sambungan digital Semenanjung, Sabah dan Sarawak

Projek SALAM merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh infrastruktur telekomunikasi negara, khususnya sambungan digital antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak melalui pembangunan sistem kabel dasar laut.

 

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan peruntukan RM2 bilion bagi projek SALAM, manakala TM turut menyatakan minat untuk mengambil bahagian dalam pelaksanaannya. Bagaimanapun, RM2.7 bilion yang dinyatakan dalam pengumuman terbaharu merujuk kepada kos maksimum projek yang diluluskan dan bukan nilai kontrak muktamad yang telah diterima TM Tech.

 

TM memaklumkan bahawa sebarang perkembangan penting berkaitan penerimaan rasmi dan pelaksanaan projek itu akan diumumkan dari semasa ke semasa.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved