liza17/11/2026 - 17:32 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 17 Nov – Steel Hawk Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Steel Hawk Engineering Sdn Bhd (SHESB) memperoleh kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bernilai RM59.24 juta bagi pembangunan perumahan empat fasa di Chemor Kayangan, Tanah Hitam, Kinta, Perak.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata kontrak itu diperoleh menerusi surat anugerah (LOA) daripada Mimbar Nusantara Homes Sdn Bhd bertarikh 17 November 2026.
Steel Hawk berkata kontrak berkenaan melibatkan pembangunan perumahan kos rendah, mampu milik dan komersial di atas sebahagian tanah milik kerajaan seluas kira-kira 47.79 ekar (19.34 hektar) di Kanthan, Mukim Hulu Kinta, Daerah Kinta, Perak.
Pembangunan itu dilaksanakan bagi pihak Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak.
Empat fasa melibatkan 240 unit rumah
Bagi Fasa 2, Steel Hawk akan melaksanakan pembinaan 43 unit rumah teres kos rendah setingkat berserta kerja infrastruktur berkaitan dengan nilai kontrak RM7.64 juta.
Fasa 3A pula melibatkan pembinaan 54 unit rumah teres mampu milik setingkat bernilai RM11.24 juta.
Sementara itu, Fasa 3B merangkumi pembinaan 60 unit rumah teres dua tingkat dengan nilai kontrak RM15.44 juta, manakala Fasa 4 melibatkan 83 unit rumah teres dua tingkat bernilai RM24.92 juta. Secara keseluruhan, keempat-empat fasa itu melibatkan pembinaan 240 unit rumah dengan nilai kontrak berjumlah RM59.24 juta.
Tempoh pelaksanaan setiap fasa 12 bulan
Steel Hawk menjelaskan bahawa kontrak berkenaan merupakan kontrak EPCC dengan Mimbar Nusantara Homes bertindak sebagai pemaju manakala syarikat itu dilantik sebagai kontraktor utama.
Skop kerja Steel Hawk merangkumi kejuruteraan, perolehan, pembinaan bangunan, penyediaan infrastruktur berkaitan serta pentauliahan dalam kawasan dan skop reka bentuk yang telah ditetapkan bagi setiap fasa.
Skop tersebut turut merangkumi penyediaan tenaga kerja, loji, bahan binaan, penyelarasan, kerja sementara, pengujian dan dokumentasi yang diperlukan bagi menyiapkan setiap fasa pembangunan.
Setiap fasa projek perlu dilaksanakan dalam tempoh 12 bulan bermula dari tarikh permulaan kerja bagi fasa berkenaan.
jumlah 43 unit bagi Fasa 2 berdasarkan pecahan 32 dan 11 unit dalam pengumuman asal. Jumlah keseluruhan ialah 240 unit. - DagangNews.com





