
JOHOR BAHRU – Seorang lelaki yang juga suspek utama dalam kejadian tetak seorang peneroka hingga maut di Felda Lok Heng Selatan malam tadi berjaya diberkas dalam tempoh tidak sampai 24 jam.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata. suspek lelaki warga tempatan berusia 41 tahun itu berjaya ditahan pukul 10.26 pagi dalam kebun kelapa sawit felda berkenaan.
“Lebih kurang 7.56 malam semalam, polis Kontinjen Johor mengesahkan menerima panggilan kecemasan mers 999 daripada orang awam berhubung penemuan seorang lelaki warga tempatan berumur 68 tahun dalam keadaan berlumuran darah dan terbaring di tepi jalan di kawasan Felda berkenaan.
“Hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati mangsa mengalami kecederaan luka pada bahagian kepala dan kedua-dua belah lengan. Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Bukit Waha.
“Bertindak atas maklumat, polis telah berjaya menangkap suspek pagi tadi dimana pihak polis turut merampas sebilah kapak dan sebuah motosikal yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semakan ke atas rekod jenayah lampau mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah.
Tambahnya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Pengerang, esok bagi mendapatkan perintah tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk membantu siasatan.
”Siasatan dijalankan dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh. Punca sebenar dan motif kejadian masih dalam siasatan pihak polis. Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau membuat sebarang komen yang boleh mengganggu proses siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Suspek tetak peneroka diberkas menyorok dalam kebun sawit appeared first on Kosmo Online.






