Analisis: Kenapa Kereta Sekarang Lebih Manja, Tidak Sejantan Macam Kereta Dulu

Cars
5 Aug 2026 • 10:45 PM MYT
Carz Automedia
Carz Automedia

Latest automotive news & review in one place.

Analisis: Kenapa Kereta Sekarang Lebih Manja, Tidak Sejantan Macam Kereta Dulu

image.png

Dunia automotif hari ini bergerak dengan pantas. Hampir setiap minggu, ada sahaja model baharu dilancarkan lengkap dengan skrin sesentuh sebesar papan kenyataan, fungsi bantuan pemandu termaju (ADAS), dan reka bentuk futuristik. Namun, di sebalik kilauan teknologi moden ini, pernahkah anda terfikir,adakah kereta hari ini benar-benar 'lebih baik' daripada kereta dulu?

Sebagai pemilik sebuah Perodua Viva 850 keluaran tahun 2008, penulis sendiri menyimpan seribu satu satu cerita sentimental. Hampir 18 tahun setia menemani perjalanan harian meredah kesesakan trafik Kuala Lumpur, sehinggalah rutin ulang-alik KL ke Ipoh, jentera kecil ini tidak pernah 'merajuk' di tengah jalan.

Dengan nilai pembelian sekitar RM30,000 pada suatu masa dahulu, ia bukan sekadar pengangkutan, malah sebuah lambang ketahanan sejati.

Viva 2008: Kecil, "Tiada Tokok Tambah", Tapi Cukup Gagah!

Melihatkan usianya yang hampir mencecah dua dekad, ramai mungkin menyangka Viva ini sudah kerap meragam. Realitinya, jauh panggang dari api. Sepanjang hampir 18 tahun berkhidmat, kos pembaikan besar hampir tidak wujud. Baru-baru ini pun, penulis hanya perlu melunaskan kos sekitar RM1,000 untuk menampal beberapa bahagian kecil di sekitar kawasan minyak enjin serta menggantikan komponen haus akibat usia.

Selebihnya? Wang hanya dianjurkan untuk kos servis berkala standard. Tiada modul komputer yang tiba-tiba "kong", tiada sensor pening kepala yang menyala secara rawak.

Ia mungkin tidak senyap, tidak selesa, dan jauh sekali daripada canggih jika dibandingkan dengan kereta moden. Namun, di situlah letaknya magis "Old Is Gold", ia cukup gagah, jujur, dan mudah dijaga.

Bila SUV Moden "Kalah" Dengan Usia

Pengalaman ini menjadi lebih kontras apabila penulis beralih kepada sebuah SUV moden yang jauh lebih mahal. Biarlah rahsia jenamanya terkunci, tetapi hakikatnya cukup menyentap hati: belum pun mencecah usia tujuh tahun, kain bumbung (headliner) sudah mula jatuh melandai ke kepala, manakala bahagian stereng pula mula mengeluarkan bunyi "ketak-ketak" yang meresahkan setiap kali dipusingkan.

image.png

Ya, dari segi pemanduan, SUV moden itu memang sedap, empuk, dan kedap suara. Teknologi penyaman udaranya hebat, dan perjalanan jauh terasa seperti di atas karpet terbang.

Namun, jauh di sudut hati, timbul satu persoalan sinis: Kenapa kereta bernilai ratusan ribu ringgit dengan teknologi canggih ini begitu cepat 'tewas' berbanding Perodua Viva berusia 18 tahun?

Antara Estetika Moden dan Jiwa "Jantan" Kereta Lama

Perbandingan ini bukan bermaksud menolak arus pemodenan. Kereta baharu sememangnya menawarkan aspek keselamatan yang jauh lebih baik dan penjimatan bahan api yang efisien untuk masa kini.

Namun, dari sudut ketahanan material dan kebolehpercayaan (reliability), industri seolah-olah mengorbankan "jiwa" demi keselesaan sementara. Kereta moden hari ini terlalu banyak menggunakan komponen plastik kompleks dan elektronik sensitif yang mudah rosak apabila mendepani cuaca tropika Malaysia atau jalan raya yang mencabar.

Sebaliknya, jentera lama seperti Viva 850 ibarat pahlawan tua, tidak banyak bunyi, tidak banyak aduan, asalkan diselenggara dengan betul, ia terus taat berkhidmat tanpa banyak soal.

Mungkin sudah tiba masanya pengeluar kereta hari ini belajar sedikit sebanyak daripada falsafah "besi waja" era dahulu. Kereta canggih memang sedap dimiliki, tetapi ketahanan lasak sebuah jentera lama tetap memegang takhta di hati mereka yang benarr menghargai nilai sebuah perjalanan.

Old is gold—kecil cili padi, makin diseksa, makin ia 'hidup'!

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved