
KUALA TERENGGANU – Penganjur program RXZ Members disaran merangka pelan pengurusan risiko acara yang lebih berkesan bagi menjamin kelancaran dan keselamatan program pada edisi seterusnya.
Aktivis keselamatan jalan raya, Shamrim Tamrin berkata, pendekatan penguatkuasaan biasa diamalkan sekarang tidak lagi sesuai memandangkan RXZ Members semakin berkembang menjadi acara berskala besar yang mampu menarik ratusan ribu penyertaan setiap kali penganjuran.
“Pendekatan sedia ada tidak memadai memandangkan trend kematian (peserta RXZ Members) meningkat mendadak setiap tahun daripada dua orang pada tahun 2024 kepada 11 orang pada tahun ini.
“Pelan pengurusan risiko acara perlu dirangka sebagai sebahagian syarat kelulusan penganjuran, bukan sekadar pilihan atas budi bicara penganjur,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Shamrim berkata, pelan pengurusan risiko acara baharu tersebut perlu merangkumi laluan utama masuk dan keluar peserta, lokasi rehat dan ambulans dan pusat respons kecemasan.
Bekas Ahli Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) itu berkata, ia turut membabitkan pelan komunikasi dan analisis risiko sebelum acara.
“Agensi penguat kuasa perlu mempunyai mekanisme memastikan hanya motosikal Yamaha RXZ tidak melepasi keselamatan teknikal dan piawaian dibenarkan menyertai RXZ Members.
“Ini kerana motosikal yang tidak mengikut spefisikasi meningkatkan risiko kemalangan malah tanpa geran sah, cukai jalan dan perlindungan insurans, masalah berbangkit pasti berlaku jika terjadi kemalangan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post RXZ Members perlu pelan pengurusan risiko lebih komprehensif appeared first on Kosmo Digital.






