
JOHOR BAHRU – Ancaman bom menerusi e-mel yang menyasarkan sebuah premis perniagaan di The Mall Mid Valley Southkey, di sini, malam tadi disahkan palsu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arshad berkata, pihaknya menerima maklumat daripada pengurusan pusat beli-belah mengenai e-mel ancaman bom pada pukul 11.31 malam.
Menurut beliau, bertindak atas maklumat, Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dengan bantuan UPB Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan digerakkan ke lokasi.
“Pasukan melakukan pemeriksaan dan pembersihan keselamatan di dalam dan luar premis dengan kerjasama pasukan keselamatan premis.
“Dalam pemeriksaan itu, beberapa objek mencurigakan ditemukan sebelum diperiksa anggota UPB,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati objek itu tidak mengandungi bahan letupan dan tiada ancaman bom dikesan di lokasi tersebut. Kawasan terbabit kemudiannya disahkan selamat sepenuhnya.
Ab. Rahaman berkata, pihaknya memandang serius setiap ancaman berkaitan bahan letupan dan tindakan segera akan diambil bagi menjamin keselamatan orang awam serta persekitaran.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, sebaliknya merujuk kepada pihak polis bagi memastikan kesahihan sesuatu maklumat.-KOSMO! ONLINE
The post Ancaman bom di Mid Valley Southkey disahkan palsu – Polis appeared first on Kosmo Online.



