
Ancaman bom yang menyasarkan sebuah premis perniagaan di The Mall Mid Valley Southkey, Johor Bahru, disahkan palsu selepas pemeriksaan keselamatan dijalankan oleh Unit Pemusnah Bom (UPB) Polis Diraja Malaysia (PDRM) malam tadi.
Ketua Polis Johor, CP Dato' Ab Rahaman bin Arsad berkata, pihaknya menerima maklumat daripada pengurusan The Mall Mid Valley Southkey pada kira-kira 11.31 malam berhubung satu emel ancaman bom yang menyasarkan sebuah premis perniagaan di lokasi berkenaan.
Ancaman bom di Mid Valley Southkey disahkan palsu
Bertindak atas maklumat itu, UPB Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dengan bantuan UPB Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan dan pembersihan keselamatan.
Pemeriksaan dijalankan di sekitar kawasan dalam dan luar bangunan The Mall Mid Valley Southkey dengan kerjasama pasukan keselamatan premis.
Dalam pemeriksaan itu, beberapa objek mencurigakan ditemukan sebelum diperiksa oleh pasukan UPB.
Hasil pemeriksaan mendapati objek berkenaan tidak mengandungi sebarang bahan letupan dan tiada sebarang ancaman bom dikesan.
Kawasan terbabit kemudiannya disahkan selamat sepenuhnya.
“Polis Johor mengambil serius setiap ancaman berkaitan bahan letupan dan sentiasa memastikan tindakan segera diambil bagi menjamin keselamatan orang awam serta persekitaran,” katanya.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak disahkan.
Sebarang maklumat berkaitan kejadian hendaklah dirujuk kepada pihak polis bagi memastikan kesahihan maklumat serta mengelakkan kekeliruan dalam kalangan orang awam.






