Ancaman bom di pusat beli belah Mid Valley Southkey palsu – Polis Johor

14 Sep 2026 • 8:13 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Ancaman bom di pusat beli belah Mid Valley Southkey palsu – Polis Johor

JOHOR BAHRU: Polis Johor mengesahkan satu ancaman bom yang menyasarkan sebuah premis perniagaan di pusat beli-belah The Mall, Mid Valley Southkey di sini melalui hantaran e-mel kepada pengurusan premis berkenaan malam tadi adalah palsu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung ancaman berkenaan daripada pihak pengurusan pusat beli-belah itu kira-kira pukul 11.31 malam tadi.

Beliau berkata, Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dengan bantuan UPB Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan telah digerak ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan keselamatan.

“Pemeriksaan keselamatan komprehensif telah dijalankan di sekitar kawasan dalam dan luar bangunan pusat beli-belah berkenaan dengan kerjasama rapat daripada pasukan keselamatan premis tersebut.

“Dalam pemeriksaan yang dijalankan itu, beberapa objek mencurigakan telah ditemukan dan seterusnya diperiksa dengan teliti oleh pasukan UPB yang bertugas di lokasi.

“Hasil pemeriksaan lanjut mengesahkan bahawa objek-objek mencurigakan yang dijumpai itu tidak mengandungi sebarang bahan letupan dan tiada sebarang ancaman bom dikesan di premis berkenaan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Ab. Rahaman, sehubungan itu, keseluruhan premis berkenaan telah diperiksa sepenuhnya dan berada dalam keadaan selamat tanpa sebarang ancaman bom seperti didakwa menerusi e-mel berkenaan.

“Polis Johor mengambil serius setiap ancaman berkaitan bahan letupan dan akan sentiasa memastikan tindakan segera diambil bagi menjamin keselamatan orang awam serta persekitaran.

“Orang ramai turut dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sah,” katanya.-UTUSAN

The post Ancaman bom di pusat beli belah Mid Valley Southkey palsu – Polis Johor appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved