KUALA LUMPUR – Ancaman jenayah seksual dalam talian terhadap kanak-kanak di Malaysia boleh berada pada tahap membimbangkan walaupun tiada statistik rasmi yang benar-benar menggambarkan situasi sebenar.
Pengerusi Eksekutif firma perunding keselamatan siber LGMS Bhd, Fong Choong Fook berkata, kebanyakan kes tidak dilaporkan kerana mangsa atau keluarga enggan tampil membuat aduan.
Menurutnya, faktor psikologi dan stigma menyebabkan ramai mangsa memilih untuk berdiam diri, sekali gus menyukarkan pihak berkuasa mendapatkan gambaran sebenar skala jenayah tersebut.
“Realitinya keadaan itu lebih buruk daripada yang kita lihat kerana banyak kes tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau menjelaskan bahawa dari sudut perundangan, masih terdapat jurang ketara khususnya dalam aspek definisi gangguan seksual dalam talian.
Katanya, kekaburan dalam mentakrifkan bentuk gangguan seksual digital menyukarkan proses penguatkuasaan serta tindakan undang-undang terhadap pelaku.
“Apakah sebenarnya yang dikategorikan sebagai gangguan seksual dalam talian? Itu antara cabaran utama kerana tafsiran masih luas dan tidak jelas,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau melihat Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) sebagai langkah penting untuk memperkukuh kerangka undang-undang sedia ada.
Menurutnya, perbezaan utama ONSA berbanding undang-undang terdahulu ialah penekanan terhadap tanggungjawab penyedia platform digital.
**media[3500832]**
Katanya, akta tersebut memberi tekanan kepada syarikat media sosial untuk mengenali pengguna mereka serta mengambil langkah proaktif dalam mencegah jenayah.
“Platform seperti Facebook dan Instagram perlu bertanggungjawab mengetahui siapa pengguna mereka dan memastikan langkah perlindungan dilaksanakan,” jelasnya.
Tambah beliau, walaupun undang-undang tidak secara spesifik mewajibkan proses ‘know your customer’ (KYC), prinsip mengenali pengguna tetap menjadi asas penting dalam pelaksanaan akta itu.
Platform digital perlu peranan lebih aktif
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa platform digital perlu memainkan peranan lebih aktif dalam menyokong pelaksanaan undang-undang tersebut.
Katanya, syarikat teknologi perlu membangunkan mekanisme bagi mengenal pasti umur pengguna serta mengawal akses golongan bawah umur.
“Bagaimana mereka melaksanakannya bergantung kepada platform, tetapi tanggungjawab itu tetap perlu dipikul,” katanya.
Mengulas aspek teknologi, beliau berkata terdapat beberapa alat kawalan ibu bapa yang boleh digunakan untuk memantau aktiviti dalam talian kanak-kanak.
Bagaimanapun, menurutnya, keberkesanan alat tersebut masih terhad terutama dalam mengawal kandungan video dan imej yang tersebar di media sosial.
“Teknologi sedia ada tidak cukup kuat untuk mengekang penyebaran kandungan secara menyeluruh,” ujarnya.
Beliau berpandangan pendidikan digital memainkan peranan paling penting dalam melindungi kanak-kanak daripada ancaman dalam talian.
Katanya, ibu bapa perlu lebih proaktif dalam mendidik anak-anak mengenai risiko serta cara mengenal pasti kandungan berbahaya.
Tambah beliau, pergantungan sepenuhnya kepada teknologi tanpa pendidikan yang mencukupi tidak akan memberi kesan yang signifikan.
Dalam pada itu, beliau turut mengakui pelaksanaan ONSA berdepan cabaran besar, khususnya dalam memastikan kerjasama daripada syarikat media sosial global.
Katanya, kebanyakan platform tersebut beroperasi di peringkat antarabangsa dan tidak tertakluk sepenuhnya kepada undang-undang tempatan.
“Cabaran utama ialah bagaimana kerajaan boleh memaksa platform ini mematuhi undang-undang kerana kita tidak boleh mengawal mereka sepenuhnya,” jelasnya.
Beliau berkata, penyelesaian terbaik adalah melalui kerjasama strategik antara kerajaan dan penyedia platform bagi mencapai persefahaman bersama.
Menurutnya, pendekatan kolaboratif penting bagi memastikan langkah perlindungan dapat dilaksanakan secara efektif.
“Kerajaan dan platform perlu duduk berbincang untuk mencari titik persamaan supaya pelaksanaan undang-undang dapat berjalan dengan lancar,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa usaha melindungi kanak-kanak dalam talian memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan undang-undang, teknologi dan pendidikan.
“Tanpa gabungan ketiga-tiga elemen ini, sukar untuk kita memastikan keselamatan kanak-kanak dalam dunia digital yang semakin kompleks,” ujarnya.

![Betul Ke Rambut Ibu Gugur Banyak Sebab Air Liur Bayi? Ini Penjelasannya [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/04/rambut-gugur-bila-bayi-main-air-liur.jpg?t=1777023858)




