Setiap tahun apabila saya ditugaskan ke MWC Barcelona, kereta dengan logo Bolt pasti kelihatan. Ia adalah perkhidmatan seru-pandu terkenal di Eropah dan Bolt telah pun tiba di Malaysia. Semalam, telah kelihatan nama Bolt di laman Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk mula beroperasi di sini dan hari ini anda sudah boleh menggunakannya.

Buat masa ini, Bolt hanya menawarkan perkhidmatan seru-pandu dengan 4 pilihan kereta. Bolt, Comfort, XL dan Premium. Seperti Grab, harga dan pilihan kereta berbeza ini adalah mengikut jenis kereta dan jumlah penumpang. Dalam semakan kami, jarak perjalanan sekitar 3km berharga RM6 dan boleh mencapai sehingga RM12.
Sempena pengenalan di peringkat awal, diskaun sebanyak 20% akan diberikan dan boleh digunakan sebanyak 20 kali. Untuk pengguna yang terpilih, diskaun sehingga 50% akan diberikan. Dalam aplikasi Bolt, dompet digital turut disediakan untuk tujuan pembayaran sebagai alternatif kepada pembayaran tunai dan dengan kad. Profil kerja turut boleh ditetapkan untuk Bolt mengeluarkan resit khas.

Buat masa ini, Bolt hanya terhad di sekitar Klang Valley sahaja. Laman web mereka menyatakan akan datang, perkhidmatan mereka akan dikembangkan untuk perjalanan ke lapangan terbang, penghantaran makanan dan barang, sewa skuter dan banyak lagi. Dengan penawaran Bolt di Malaysia, adakah anda akan tinggalkan Grab atau perkhidmatan seru-pandu lain?




