hamden26/10/2026 - 17:52 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Okt - Econpile Holdings Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Econpile (M) Sdn Bhd, memperoleh kontrak bernilai RM24.4 juta bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan tapak, tembok penahan dan cerucuk untuk projek pangsapuri perkhidmatan 53 tingkat di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Econpile dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, anak syarikatnya menerima surat anugerah bertarikh 23 Oktober 2026 daripada REIN Architects Sdn Bhd, bagi pihak Beverly 37 Sdn Bhd, pada 26 Oktober 2026.
Projek berkenaan melibatkan pembangunan sebuah blok pangsapuri perkhidmatan yang merangkumi 315 unit, tujuh tingkat podium tempat letak kereta, dua tingkat tempat letak kereta bawah tanah serta kemudahan sokongan.
Pembangunan itu terletak di Lot 20046, berdekatan Jalan Tun Razak, Seksyen 67, Bandar Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Menurut Econpile, kerja-kerja projek dibahagikan kepada dua seksyen. Seksyen pertama merangkumi kerja-kerja pembersihan tapak, pembinaan tembok penahan dan cerucuk, yang perlu disiapkan dalam tempoh enam bulan mulai 5 November 2026.
Seksyen kedua pula melibatkan kerja-kerja pemotongan kepala cerucuk dan perobohan. Kerja-kerja itu akan dimulakan dalam tempoh tiga bulan selepas pembinaan struktur atas bermula dan disiapkan dalam tempoh tiga bulan berikutnya, selaras dengan jadual kerja kontraktor utama.
Econpile menjangkakan projek itu menyumbang secara positif kepada hasil dan pendapatan kumpulan mulai tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027 dan seterusnya.
Syarikat itu turut memaklumkan bahawa tiada risiko ketara yang boleh dijangka selain risiko operasi berkaitan projek sepanjang tempoh kontrak.
Pihak pengurusan akan melaksanakan langkah kawalan dan prosedur operasi bagi mengurangkan impak atau kemungkinan berlakunya risiko berkenaan. - DagangNews.com






