sarah26/10/2026 - 17:44 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Okt - Pansar Bhd memperoleh kontrak bernilai RM170.86 juta bagi melaksanakan kerja pembinaan dan struktur projek naik taraf infrastruktur air fasa kedua di Samalaju, Sarawak, termasuk pembinaan loji rawatan air berkapasiti 120 juta liter sehari.
Kontrak itu diperoleh menerusi anak syarikat milik penuhnya, Perbena Emas Sdn Bhd (PESB), selepas menerima surat setuju terima daripada KKB Engineering Bhd hari ini.
Menurut Pansar dalam makluman kepada Bursa Malaysia, projek tersebut merupakan sebahagian daripada pembangunan infrastruktur air di bawah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).
“Skop kerja merangkumi pembinaan dan penyiapan bangunan serta infrastruktur bagi sistem pengambilan air mentah berkapasiti 160 juta liter sehari, termasuk saluran paip pengepaman, loji rawatan air berkapasiti 120 juta liter sehari dan kemudahan berkaitan,” menurut makluman itu.
Kontrak berkenaan mempunyai tempoh pelaksanaan selama 36 bulan dan dijadualkan bermula pada November 2026.
Pansar berkata, projek tersebut dijangka memberikan sumbangan positif kepada prestasi kewangan kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaannya.
“Kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan seiring dengan kemajuan projek sepanjang tempoh kontrak,” menurut syarikat itu.
Syarikat turut memaklumkan bahawa tiada pengarah, pemegang saham utama atau individu yang mempunyai hubungan dengan mereka memiliki kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak tersebut. - DagangNews.com





