SKA Capital peroleh kontrak RM89 juta daripada Ibrahim & Sons bagi projek elektrik TNB di Pahang, Terengganu dan Selangor

LocalBusiness & Finance
26 Oct 2026 • 2:40 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

SKA Capital peroleh kontrak RM89 juta daripada Ibrahim & Sons bagi projek elektrik TNB di Pahang, Terengganu dan Selangor Image from: SKA Capital peroleh kontrak RM89 juta daripada Ibrahim & Sons bagi projek elektrik TNB di Pahang, Terengganu dan Selangor liza26/10/2026 - 14:40 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Okt – SKA Capital Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, SKA Rekabina Sdn Bhd meraih kontrak bernilai RM89.28 juta bagi melaksanakan kerja-kerja berkaitan rangkaian pengagihan elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB).

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, SKA Capital berkata kontrak itu melibatkan enam projek yang dianugerahkan TNB kepada Ibrahim & Sons Engineering Sdn Bhd dengan SKA Rekabina menerima surat tawaran daripada syarikat berkenaan pada 23 Oktober 2026.

 

“Skop projek merangkumi pemasangan, pengujian dan pentauliahan kabel bawah tanah 11kV dan 33kV berserta aksesori berkaitan. Ia turut melibatkan pembinaan pencawang pembahagian utama 33/11kV di Kuantan, Pahang dan Chendering, Terengganu.

 

“Selain itu, kerja-kerja pemasangan dan penyambungan kabel bawah tanah bagi rangkaian pengagihan TNB di Selangor turut termasuk dalam skop projek berkenaan,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Projek itu berkuat kuasa mulai tarikh penerimaan surat tawaran, manakala kerja-kerja berkenaan dijangka disiapkan dalam tempoh 18 bulan dari tarikh permulaan pelaksanaan.

 

Ibrahim & Sons Engineering merupakan syarikat persendirian yang diperbadankan di Malaysia pada 23 Januari 2019 dan menjalankan perniagaan dalam penyediaan perkhidmatan kejuruteraan. Syarikat itu dilantik sebagai kontraktor utama oleh TNB bagi projek berkenaan.

 

Bayaran berdasarkan kemajuan kerja

SKA Capital berkata bayaran kemajuan kerja merangkumi 90% daripada tuntutan kemajuan yang diluluskan, manakala baki 10% akan ditahan sehingga semua kerja disiapkan.

 

Bayaran akan dibuat dalam tempoh 30 hari selepas invois disahkan oleh Ibrahim & Sons Engineering.

 

SKA Rekabina juga dikehendaki menyediakan jaminan pelaksanaan bersamaan 5% daripada nilai kontrak masing-masing yang dianugerahkan TNB, berserta levi dan insurans berkaitan, dalam tempoh 28 hari selepas menerima surat tawaran.

 

Jaminan pelaksanaan itu perlu kekal sah sehingga enam bulan selepas tamat tempoh liabiliti kecacatan, yang ditetapkan selama 365 hari dari tarikh kerja disiapkan dan disahkan oleh Ibrahim & Sons Engineering.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved