“Anggap Ia Rezeki”- Tular Rakaman Jaga Bapa Sakit, Lelaki Kongsi Dah 11 Tahun Jaga Orang Tuanya [Video]

1 Aug 2025 • 10:24 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Buat pengguna media sosial khususnya TikTok, pasti perasan video tular memaparkan gelagat seorang pemuda yang menjaga warga emas terlantar di katil pada minggu lalu.

Menerusi video tular, kelihatan lelaki berkenaan bersungguh-sungguh mahu mengajak bapanya mandi namun warga emas itu dilihat berkeras dan enggan berbuat demikian.

Apa yang menjadi perhatian adalah sikap pemuda itu yang sabar melayan kerenah bapanya yang sedang lumpuh.

Malah, turut terdapat video lain yang dikongsikan oleh lelaki berkenaan mengenai aktiviti harian menjaga bapanya itu.

Lelaki Anggap Jaga Orang Tua ‘Rezeki’, Rupanya Dah Jaga Lebih 11 Tahun

Memetik Harian Metro, lelaki yang dikenali sebagai Khairulfahmi Ismail menjelaskan dia menganggap tugas menjaga bapanya, Ismail Ibrahim adalah satu rezeki.

“Bukan semua orang dapat peluang jaga orang tua. Kalau ada rezeki jaga mak ayah, jagalah sebaiknya,” jelasnya.

Fahmi yang merupakan kakitangan Pejabat Hutan Daerah Seremban, Negeri Sembilan telah menjaga bapanya sejak lebih 11 tahun lalu.

Kongsinya, dia dibantu oleh isteri Noor Nazeha Hairan, selepas bapanya itu diserang penyakit angin ahmar (strok) pada tahun 2014 dan lumpuh sebelah kiri badan.

Sabar Layan Karenah Orang Sakit, Anggap Khidmat Bakti Kepada Orang Tua

Fahmi yang berusia 39 tahun turut mengakui banyak cabaran yang ditempuhi sepanjang menjaga ayahnya yang sakit itu.

Namun, dia tetap sabar dan menganggap ia sebagai satu khidmat bakti sebagai membalas jasa orang tuanya.

“Walaupun ayah garang, tapi dia juga seorang yang kelakar. Saya tetap layan kerenahnya tanpa ambil hati.

“Cabaran paling besar menjaga ayah adalah ketika dia dalam keadaan ‘lasak’. Ayah pernah jatuh katil, buka lampin, main najis. Semua itu pernah terjadi, tapi kami suami isteri sabar sahaja kerana ini ujian Allah.

“Saya percaya apabila kita ikhlas, Allah akan permudahkan,” katanya lagi.

Lelaki Cerita Detik Kejadian, Bapa Tidak Bangun & Mulut Berbuih

Fahmi turut berkongsikan bagaimana keadaan ketika ayahnya yang merupakan seorang bekas tentera diserang angin ahmar.

Jelas Fahmi, insiden berlaku ketika ibunya mahu mengejutkan bapanya untuk solat asar.

“Ayah tak bangun dan mulutnya berbuih. Saya segera hubungi ambulans dan ayah dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban.

“Selepas melakukan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI), didapati terdapat saluran darah ke otak pecah dan dia dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) serta menjalani rawatan di sana selama lima bulan,” jelasnya.

Kesihatan Bapa Semakin Baik

Namun, dia yang merupakan anak kelima daripada enam beradik itu menjelaskan kesihatan bapanya semakin baik walaupun secara fizikal masih sukar untuk bergerak.

“Saya dan isteri bergilir uruskan ayah. Kalau isteri tak dapat mandikan, saya balik dari kerja untuk mandikannya.

“Majikan sangat memahami situasi saya, kalau perlu balik untuk uruskan ayah, majikan saya akan faham.

“Ayah kini tidak perlu dipantau 24 jam macam dahulu, cuma perlu disuapkan makan dan kadangkala lihat (pantau) keadaannya sahaja,” ujarnya.

Perkongsian Tular Di TikTok Hanya Mahu Sekadar Beri Inspirasi

Fahmi turut bercerita tentang video tular bersama bapanya yang mendapat lebih 4.5 juta tontonan hingga ada netizen yang memberi gelaran ‘Atok Online’ kepada bapanya itu.

Jelas Fahmi, perkongsian itu hanya sekadar mahu memberi inspirasi kepada masyarakat.

Malah, ia juga sebagai sokongan kepada individu seperti dirinya yang berjuang menjaga ibu bapa sakit mahupun uzur.

“Kalau diberi peluang menjaga ibu bapa, ikhlaskan hati walaupun kadangkala ada kata-kata mereka yang mengguris perasaan.

“Saya tahu ramai di luar sana sama macam saya, jaga mak ayah yang sakit. Apa yang saya kongsikan hanyalah untuk memberi inspirasi dan semangat kepada mereka,” jelasnya lagi.

@famy.ismail Live semalam. Ade permintaan nak tgk atok geram. Selamat menghilangkan stress anda . 🤣🤣 #Fyp #ForYourPage #AtokOnline ♬ Funny video "Carmen Prelude" Arranging weakness(836530) – yo suzuki(akisai)

Tonton video penuh [DI SINI]

Source: