Pelajar 14 Tahun Tumbuk Cikgu Mengaku Bersalah

LocalPolitics
30 Jul 2025 • 3:57 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sebelum ini, kecoh di media sosial insiden seorang pelajar di sebuah sekolah di Kajang, Selangor yang menumbuk dan mengugut gurunya.

Menerusi video tular kelihatan pelajar yang memakai t-shirt berwarna coklat berang sebelum bertindak menumbuk lelaki berpakaian hitam yang dipercayai pendidik di sekolah terbabit.

Pihak polis kemudiannya bertindak menahan pelajar berkenaan selepas guru berusia 29 tahun membuat laporan polis.

Siasatan awal mendapati insiden berpunca pelajar tidak berpuas hati kerana ditegur oleh guru berkenaan.

Pelajar tumbuk cikgu mengaku bersalah

Terbaharu, pelajar itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan ke atasnya iaitu menyebabkan kecederaan dalam kejadian di sekolah menengah di Kajang pada 28 Julai lalu.

Pelajar itu membuat pengakuan bersalah selepas jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Majistret Fatin Dayana Jalil.

Berdasarkan kertas pertuduhan, pelajar yang berada di peralihan tingkatan satu terbabit didakwa secara sengaja telah mengakibatkan kecederaan terhadap guru lelaki itu pada jam 4.48 petang, kelmarin.

Memetik laporan Harian Metro, pertuduhan itu dikemukakan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

RM5,000 jumlah ikat jamin sebelum dikurangkan kepada RM1,000

Sewaktu prosing berlangsung, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd Zulbahrin dan pelajar itu diwakili oleh peguam, S Priyalatha.

Susulan itu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan berjumlah RM5,000 serta seorang penjamin di atas alasan kes terbabit adalah serius serta tular di media sosial.

Walau bagaimanapun peguam yang mewakili tertuduh meminta agar jumlah jaminan dikurangkan ekoran tertuduh adalah pesalah juvana yang masih lagi bersekolah.

Mahkamah kemudiannya membenarkan pelajar tersebut diikat jamin sebanyak RM1,000 bersama seorang penjamin serta menetapkan 11 September ini untuk laporan akhlak tertuduh dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum menjatuhkan hukuman.

Source: