
SHAH ALAM, 4 JULAI: Dana kira-kira RM5.5 juta lagi diperlukan bagi menyiapkan pembinaan Kompleks Asrama Anak Yatim Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) di Pulau Indah, Klang.
Agensi itu menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan kemajuan pembinaan kompleks berkenaan kini sudah mencapai 78 peratus, setakat 30 Jun lalu.
“Fasa minggu ini melibatkan kesinambungan pembinaan fasiliti utama seperti asrama, surau, dewan serbaguna, gelanggang permainan serta arena kiosk.
“Setakat ini projek berjalan mengikut jadual tetapi Yide menyeru semua pihak untuk bersama menyumbang bagi merealisasikan kompleks ini siap sepenuhnya mengikut sasaran pada Januari 2026,” katanya.
Orang ramai boleh berinfaq untuk pembinaan kompleks tersebut melalui pautan yide.com.my/infaq-kompleks-anak-yatim/
“Jadilah sebahagian daripada mereka yang membina tempat kecemerlangan dan harapan buat anak-anak yatim ini.
“Sumbangan anda layak mendapat potongan cukai di bawah Subseksyen 44(6), Akta Cukai Pendapatan 1967,” maklumnya.
Kos keseluruhan pembinaan kompleks itu dianggarkan sekitar RM17 juta, yang bakal menempatkan sekitar 200 anak yatim dengan fasiliti kondusif seperti asrama, surau, dewan serbaguna, pusat komersial dan gelanggang permainan.

The post Anggaran dana RM5.5 juta bina asrama anak yatim, Yide seru infak ramai appeared first on Selangorkini.



