KANGAR - Seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) maut manakala dua lagi cedera ketika sedang menjalankan operasi di Sungai Padang, perairan Kuala Perlis di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kangar Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu yang berlaku kira-kira jam 11 malam, bagaimanapun beliau memaklumkan maklumat lanjut mengenainya hanya boleh dikeluarkan pihak APMM.
"Saya hanya boleh sahkan menerima laporan kejadian ini, maklumat lanjut mengenai kejadian ini hanya pihak APMM yang akan keluarkan,” katanya.
Difahamkan, APMM dijangka mengadakan sidang media tentang kejadian itu petang ini.
Terdahulu, tular anggota APMM yang dikenal pasti sebagai Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan di Unit Perisikan, Ibu Pejabat APMM Kedah dan Perlis, maut dalam operasi.
- Bernama






