
SEREMBAN – Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) maut manakala empat lagi mangsa cedera dalam kemalangan membabitkan dua treler dan sebuah kenderaan JPJ di susur keluar Senawang, di sini malam tadi.
Komander Operasi Kanan Zon Port Dickson, Penguasa Bomba Ahmad Shukri Hashim berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 10.55 malam.
Menurutnya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba pada pukul 11.19 malam sebelum operasi menyelamat dimulakan dua minit kemudian.
“Operasi melibatkan enam anggota bomba bagi membantu mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam kenderaan JPJ. Mangsa tersepit di tempat duduk pemandu.
“Anggota bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit dan mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menyelesaikan proses itu,” katanya ketika ditemui di sini, awal pagi ini.
Ahmad Shukri berkata, mangsa berjaya dikeluarkan bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian.
Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, kesemua kenderaan yang terlibat datang dari arah selatan menghala ke Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE
The post Anggota JPJ maut, empat cedera nahas tiga kenderaan appeared first on Kosmo Online.



![[VIDEO] Anggota JPJ maut, empat cedera nahas tiga kenderaan](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/5df2062f-21ef-45b4-b5f2-91f423eb05f7.jpeg)


