
KUALA LUMPUR: Barisan Jemaah Menteri menerusi media sosial masing-masing hari ini mengucapkan Selamat Hari Kebangsaan ke-69 dan menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus memperkukuh perpaduan, memelihara keharmonian dan mempertahankan kemerdekaan negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kemerdekaan yang diwarisi perlu dipertahankan dengan semangat perpaduan, saling menghormati dan kebersamaan tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.
“Kekuatan Malaysia sentiasa terletak pada rakyatnya yang bersatu,” katanya menerusi hantaran Facebook.
Azalina turut berharap Malaysia terus melakar kejayaan, menikmati keamanan dan kemakmuran serta melangkah maju sebagai sebuah negara yang lebih kuat untuk generasi akan datang.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pula berkata 31 Ogos menjadi kesempatan untuk rakyat mengingati kembali perjalanan panjang dilalui negara.
Beliau berkata, generasi terdahulu berjuang untuk sebuah negara yang merdeka pada 69 tahun lepas dan amanah itu kini berada di tangan rakyat untuk terus menjaga keamanan serta memelihara keharmonian.
“Kita mungkin berbeza kaum, agama dan latar belakang tetapi kita berkongsi satu tanah air dan satu rasa cinta yang sama kepada Malaysia,” katanya.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, Hari Kebangsaan bukan sekadar memperingati sejarah kemerdekaan, tetapi ruang untuk rakyat menghargai nikmat hidup di sebuah negara yang aman, berbilang kaum dan kaya dengan kepelbagaian.
“Dari bandar hingga ke pelosok kampung, dari Semenanjung hingga Sabah dan Sarawak, kita semua berkongsi tanah air yang sama dan masa depan yang sama,” katanya.
Nanta mengajak rakyat untuk terus menjaga perpaduan, saling menghormati dan memainkan peranan dalam membina Malaysia yang lebih maju, sejahtera dan inklusif.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, kemerdekaan bukan sekadar kibaran bendera atau sorakan dalam sesuatu acara, sebaliknya amanah keimanan dan pengorbanan yang menuntut keadilan nyata untuk seluruh rakyat. – UTUSAN
Beliau berkata, Amanat Perdana Hari Kebangsaan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menyuntik keinsafan mendalam dengan mengimbau ketegasan serta landasan perjuangan tokoh negara termasuk Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang mengingatkan kemerdekaan tidak mudah diperoleh dan menuntut pengorbanan besar.
Zulkifli turut memetik kata pejuang kemerdekaan Dr. Burhanuddin Al-Helmy mengenai pembinaan jiwa merdeka dan pembelaan terhadap hak serta keadilan selain berkongsi nukilan Sasterawan Negara, Datuk Seri Dr. A. Samad Said berhubung peranan generasi berilmu dalam meneruskan kehidupan dan kemerdekaan bangsa serta belajar hidup bersama.
Selain itu, beliau berkata, dalam memaknai kemerdekaan sebenar ketika negara berdepan krisis bekalan dunia, Kerajaan MADANI terus menterjemahkan amanah kuasa melalui langkah menangani kos sara hidup dan memelihara kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata, langkah itu termasuk menerusi peluasan kelayakan BUDI MADANI bagi memastikan agihan subsidi lebih adil serta penyediaan peruntukan prasarana pendidikan inklusif untuk semua jenis sekolah tanpa keciciran.
Beliau berkata, kerajaan turut menyediakan langganan percuma aplikasi kecerdasan buatan (AI) bagi memperkasakan daya cipta dan ilmu generasi muda serta mempercepat perkhidmatan kesihatan dengan mengurangkan tempoh menunggu di klinik dan hospital kerajaan.
Selain itu, kelonggaran ambang e-Invois dan peningkatan dana pinjaman juga dilaksanakan bagi menyokong kelangsungan usahawan serta peniaga kecil.
“Kuasa ialah amanah Allah yang bakal dihisab. Usaha berterusan ini adalah bukti keprihatinan untuk memastikan nikmat kemerdekaan dirasai hingga ke akar umbi, mewujudkan kehidupan yang lebih sejahtera, bermaruah dan diredai-Nya,” katanya.
Zulkifli turut berharap negara terus kekal aman, berdaulat dan berada dalam naungan rahmat Allah.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh turut mengucapkan Selamat Hari Kebangsaan ke-69 kepada seluruh rakyat menerusi hantaran di Facebook yang disusuli dengan laungan “Merdeka” sebanyak tiga kali.
Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini bertemakan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”. – BERNAMA
The post Anggota Kabinet seru rakyat perkukuh perpaduan, pelihara keharmonian appeared first on Utusan Malaysia.






