
KOTA KINABALU – Setiap ketua isi rumah (KIR) warga Malaysia yang terjejas dalam kebakaran di Kampung Lok Buta, Numbak, di sini, awal pagi semalam akan menerima bantuan sebanyak RM3,000.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, jumlah itu merangkumi sumbangan RM1,000 masing-masing daripada kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan dan Yayasan Kebajikan Sabah.
“Saya dapat melawat serta berjumpa dengan mangsa kebakaran dan ingin mengumumkan bantuan RM3,000 kepada setiap KIR bagi meringankan beban mereka,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa di Pusat Pemindahan Sementara Dewan Serbaguna Likas, di sini, hari ini.
Hajiji berkata kerajaan negeri akan membantu usaha membina semula kediaman mangsa menerusi penyelarasan Setiausaha Kerajaan Negeri bersama-sama Majlis Amanah Rakyat dengan lokasi pembinaan sama ada di tapak asal atau kawasan lain ditentukan selepas mengambil kira kesesuaian kawasan.
Selain itu, beliau berkata atas pertimbangan kemanusiaan, setiap KIR bukan warga Malaysia yang terjejas dalam kebakaran itu akan menerima bantuan RM1,000 daripada kerajaan negeri.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan menyalurkan keperluan asas termasuk makanan dan barangan rumah kepada keluarga terlibat.
Kebakaran pada pukul 1.40 pagi semalam, memusnahkan lebih 200 kediaman dan meragut nyawa tiga kanak-kanak, termasuk dua beradik.
Mereka ialah Nana Abdullah, 4, abangnya Mohd Asrul Abdullah, 6, serta sepupu mereka Nurfarahdilah Mohd Tajihah, 8 tahun. – Bernama
The post Mangsa kebakaran terima bantuan RM3,000 seorang appeared first on Kosmo Digital.





