
SERDANG: Kadar Sara Diri (SSR) beras Malaysia perlu ditingkatkan kepada 80 peratus bagi memastikan keterjaminan makanan negara pada tahap selesa, selain mengelak rakyat berdepan kesukaran mendapatkan bekalan makanan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Malaysia masih jauh untuk mencapai tahap selesa dalam keterjaminan makanan, khususnya bagi komoditi padi dan daging.
Menurut beliau, SSR beras negara ketika ini masih di bawah 60 peratus, sekali gus menunjukkan keperluan untuk meningkatkan pengeluaran beras tempatan secara lebih agresif.
“Sekurang-kurangnya kita kena berada di tahap 80 peratus, barulah kita boleh mengatakan bahawa keterjaminan makanan kita terutama beras akan ada dalam zon selesa.
“Maka amat sesuai apabila kita bercakap tentang keterjaminan makanan dalam bulan kemerdekaan, kerana apakah makna sebuah negara yang merdeka sekiranya kita tidak mampu memastikan rakyatnya mempunyai makanan yang mencukupi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Laman Padi dan Pengiktirafan Malaysia Book Of Records sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini.
Dalam pada itu, Mohamad turut menasihati rakyat supaya menghargai setiap makanan yang ada dan mengelakkan pembaziran.
“Memang kadang-kadang hal makanan ini, waktu mewah kita ada sedikit lalai. Tapi waktu tidak ada makanan, kita lihatlah apa yang berlaku di Gaza. Apabila gandum yang dibawa itu tumpah, mereka kaut dan ayak, buang pasir untuk mereka makan yang tumpah itu.
“Begitu juga kita lihat di negara-negara Afrika yang sekarang alhamdulillah, sedikit sebanyak mula keluar daripada kebuluran. Tetapi lama mereka berada kehidupan dalam keadaan yang amat sukar. Sebab itu soal makanan ini, masa kita ada lebih jangan kita sombong dan takabur.
“Saya selalu sebut hal ini untuk peringatan saya dan peringatan kita semua. Dulu bila kita makan nasi tumpah di atas lantai, ibu kita ingatkan kutip nasi itu kerana sebiji nasi itu menunggu enam bulan untuk mendapat sebiji nasi,” katanya. – UTUSAN
The post SSR beras perlu capai 80 peratus – Mohamad Sabu appeared first on Utusan Malaysia.





