Anggota Maritim Malaysia maut ketika operasi kawalan sempadan

27 Oct 2026 • 11:59 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Allahyarham Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan, anggota Unit Perisikan Maritim Kedah dan Perlis yang maut ketika operasi kawalan sempadan.

Seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dilaporkan maut, manakala tiga lagi rakan setugasnya cedera ketika menjalankan operasi pemantauan dan kawalan sempadan di perairan Sungai Padang, Perlis, awal pagi Selasa.

Memetik laporan Harian Metro, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 12.30 tengah malam ketika keempat-empat anggota terbabit sedang menjalankan tugas di kawasan perairan berkenaan.

Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Laskar Kanan Maritim (Teknikal) Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan, anggota Unit Perisikan, Ibu Pejabat Maritim Kedah dan Perlis.

Bagaimanapun, punca sebenar kejadian serta tahap kecederaan tiga lagi anggota yang terlibat masih belum dapat dipastikan setakat ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah serta seluruh warga Maritim Malaysia menerusi hantaran di Facebook rasmi agensi berkenaan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham yang meninggal dunia pada 27 Oktober 2026.

Dalam hantaran tersebut, Maritim Malaysia turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta para solihin.

“Semoga seluruh ahli keluarga Allahyarham diberikan ketabahan, kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi kehilangan insan tersayang,” menurut hantaran itu.

Difahamkan, Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan dua cahaya mata masing-masing berusia 14 dan 11 tahun.

Jenazah Allahyarham dijangka dibawa pulang ke kampung halamannya di Kuala Nerang, Kedah, hari ini selepas proses bedah siasat selesai.

Sumber: Harian Metro, Kosmo, Facebook Maritim Malaysia

The post Anggota Maritim Malaysia maut ketika operasi kawalan sempadan appeared first on The Reporter.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved