
KUCHING – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja lelaki yang dipercayai disambar buaya ketika memunggah buah kelapa sawit ke dalam perahu di Sungai Plaie Ulu, di sini, semalam disambung esok.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (PGO JBPM) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan, operasi SAR hari pertama yang bermula pukul 10.30 pagi tadi melibatkan empat buah bot serta kira-kira 40 anggota termasuk penduduk kampung.
Menurutnya, pencarian pada sesi pagi meliputi radius dua kilometer ke arah hulu dan hilir sungai dari lokasi kejadian.
“Operasi kemudian disambung pada pukul 2 petang dengan radius pencarian diperluaskan kepada lima kilometer.
“Namun, pencarian pada sebelah petang tidak menjumpai sebarang petunjuk dan operasi ditangguhkan pada pukul 4.30 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, operasi SAR dijadualkan disambung semula esok bagi meneruskan pencarian mangsa.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dipercayai disambar buaya ketika menjalankan kerja memunggah buah sawit ke dalam perahu di Sungai Plaie, Ulu Sebuyau, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang, mangsa, Mohd Nordin Mohd Othman, dari Kampung Plaie Ulu Sebuyau, dikatakan disambar reptilia berkenaan ketika berada di sungai terbabit.
Kejadian itu disaksikan bapa saudara mangsa, Midin Radin, sebelum maklumat berhubung insiden berkenaan disampaikan kepada Ketua Kampung Sungai Plaie. – KOSMO! ONLINE
The post Operasi SAR budak hilang disambar buaya disambung esok appeared first on Kosmo Online.





