Anggota polis dilanggar ketika sekatan

13 Sep 2026 • 6:24 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Anggota polis dilanggar ketika sekatan
Seorang anggota polis trafik patah tangan kanan selepas dilanggar seorang motosikal ketika sekatan.

KOTA TINGGI – Seorang anggota polis trafik patah tangan kanan selepas dilanggar seorang motosikal yang diarahkan berhenti kerana tidak memakai topi keledar dalam Op Motosikal di sekitar bandar Kota Tinggi, pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.03 pagi ketika anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi sedang menjalankan operasi berkenaan.

Menurutnya, ketika operasi dijalankan, polis mengesan seorang lelaki menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar sebelum mengarahkannya berhenti.

“Bagaimanapun, lelaki berkenaan tiba-tiba melanggar anggota polis trafik yang sedang bertugas.

“Akibat kejadian itu, anggota polis berkenaan mengalami kecederaan dan pemeriksaan di Hospital Kota Tinggi mendapati dia mengalami patah tangan kanan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, polis menahan lelaki tempatan berusia 24 tahun bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 186 dan Seksyen 322 Kanun Keseksaan.

“Polis mengambil serius kejadian ini dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang melanggar peraturan jalan raya.

“Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya yang ditetapkan,” katanya.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved