
KOTA TINGGI: Dua maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer (KM) 52.5 Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), di sini awal pagi tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Penawar, Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Mohd. Hazmi Zulkafli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 1.49 pagi.
“Kemalangan tersebut membabitkan sebuah Proton X70, Proton Persona dan Toyota Unser. Seorang lelaki berusia 58 tahun yang menaiki Proton X70 dan seorang wanita berusia 26 tahun yang menaiki Proton Persona disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Hazmi berkata, dua mangsa tersepit dalam kenderaan masing-masing berjaya dikeluarkan anggota bomba menggunakan peralatan pemotong hidraulik.
Tambahnya, mayat kedua-dua mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Dua wanita berusia 51 dan 47 tahun yang turut menaiki Proton X70 cedera dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini bagi mendapatkan rawatan.
“Seorang pemandu lelaki dewasa yang membawa Toyota Unser dalam keadaan selamat,” katanya. – UTUSAN
The post Dua maut dalam nahas tiga kenderaan di SDE appeared first on Utusan Malaysia.






