Anggota Polis Parah Ditetak: Dr Dzulkefly Hargai Kejayaan HKL Sambung Semula Tangan Putus

LocalHealth & Fitness
12 Nov 2026 • 5:05 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Anggota Polis Parah Ditetak: Dr Dzulkefly Hargai Kejayaan HKL Sambung Semula Tangan Putus

KUALA LUMPUR - Kejayaan pasukan pakar Hospital Kuala Lumpur (HKL) menyambung semula tangan Koperal Thierry Rodger Anak Fendy menerusi pembedahan mikro selama lapan jam membuktikan keupayaan serta kepakaran tenaga perubatan negara dalam mengendalikan kes kecederaan serius dan kompleks.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, beliau amat menghargai komitmen dan usaha seluruh pasukan perubatan yang terbabit dalam menjayakan pembedahan berkenaan, termasuk pakar bedah, doktor, jururawat serta petugas kesihatan HKL.

Beliau turut merakamkan penghargaan khusus kepada pasukan subkepakaran Anggota Atas dan Pembedahan Mikro yang diketuai Dr Allan Ravi Rajagopal dan Dr Aziz Sabbir Husain atas kejayaan melaksanakan prosedur yang memakan masa lapan jam itu.

Katanya, pembedahan berkenaan menuntut ketelitian pada tahap amat tinggi selain penggunaan mikroskop pembedahan bagi memastikan proses penyambungan semula anggota badan itu dapat dilakukan dengan sebaiknya.

“Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah SWT atas berita menggembirakan berhubung kejayaan pembedahan menyambung semula tangan Koperal Thierry Rodger Anak Fendy di HKL.

“Penghargaan dan ucapan tahniah setinggi-tingginya saya tujukan kepada seluruh pasukan pakar bedah, doktor, jururawat serta warga kerja kesihatan HKL yang terbabit dalam pembedahan ini,” katanya hari ini.

Dr Dzulkefly turut merakamkan penghargaan kepada pasukan Neurosurgeri HKL yang bekerjasama memberikan rawatan bagi kecederaan pada bahagian kepala anggota polis berkenaan.

Menurutnya, dedikasi luar biasa yang ditunjukkan seluruh pasukan dalam mengendalikan kes kecemasan pembedahan mikro yang begitu rumit itu menjadi kebanggaan negara.

Beliau berkata, kejayaan berkenaan turut mencerminkan mutu perkhidmatan perubatan secara multidisiplin yang ditawarkan di fasiliti kesihatan awam negara berada pada tahap membanggakan.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata, beliau bersama seluruh rakyat Malaysia terhutang budi atas keberanian serta pengorbanan Koperal Thierry dalam menjalankan tanggungjawab menjaga keselamatan awam.

Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) komited memastikan anggota polis itu terus menerima rawatan menyeluruh dan rapi bagi membantu memulihkan fungsi tangannya ke tahap paling optimum.

“Marilah kita bersama-sama mendoakan agar Koperal Thierry diberikan kesembuhan sepenuhnya, selain semoga keluarganya dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian getir ini,” katanya. - Getaran, 12 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved