SHAH ALAM - Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memuji kepakaran pasukan pakar bedah Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang berjaya menyempurnakan pembedahan penyambungan semula tangan anggota polis, Lans Koperal Thierry Rodger Fendy menerusi prosedur kompleks selama lapan jam.
Beliau berkata, kejayaan itu membuktikan keupayaan dan kepakaran tinggi pasukan perubatan negara khususnya dalam mengendalikan kes kecemasan mikrosurgeri yang memerlukan ketelitian dan kemahiran khusus.
"Penghargaan khusus buat pasukan Pakar Subkepakaran Anggota Atas dan Mikrosurgeri yang diketuai oleh Dr. Allan Ravi Rajagopal dan Dr. Aziz Sabbir Husain, atas kejayaan menyempurnakan prosedur lapan jam yang menuntut ketelitian tahap tinggi menggunakan mikroskop pembedahan ini.
"Syabas juga diucapkan kepada pasukan Neurosurgeri HKL yang turut bekerjasama merawat kecederaan di bahagian kepala beliau," katanya dalam satu hantaran Facebook pada Khamis.
Sebelum itu, media melaporkan seorang anggota polis yang bertugas di Cawangan Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak putus pergelangan tangan kanan selepas diserang lelaki warga asing bersenjatakan parang.
Dzulkefly menambah, kerjasama pelbagai disiplin dalam mengendalikan kes kompleks berkenaan membuktikan kualiti perkhidmatan perubatan di fasiliti kesihatan awam negara berada pada tahap membanggakan.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh doktor, jururawat dan petugas kesihatan HKL yang terlibat dalam memastikan rawatan terbaik diberikan kepada anggota polis berkenaan.
Menurutnya, Kementerian Kesihatan (KKM) komited memastikan Thierry terus menerima rawatan rapi dan menyeluruh bagi menyokong pemulihan fungsi tangannya pada tahap optimum.
"Seluruh rakyat Malaysia terhutang budi atas keberanian dan pengorbanan saudara dalam mempertahankan keselamatan awam," ujarnya.
Dzulkefly turut berharap agar Lans Koperal Thierry diberikan kesembuhan sepenuhnya, selain keluarganya terus tabah menghadapi ujian berkenaan.






