
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Semalam (11 November), tular di media sosial video memaparkan seorang lelaki warga asing mengamuk dengan bersenjatakan parang.
Dalam kejadian yang berlaku di sebuah pangsapuri yang terletak Desa Aman Puri, Kepong itu, seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dari Cawangan Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak mengalami cedera parah selepas diserang oleh suspek.
Mangsa putus pergelangan tangan kanan serta cedera pada bahagian kepala dan badan.
View on Threads
Anggota Polis Jalani Pembedahan Penyambungan Pergelangan Tangan
Tengah malam tadi, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar menjelaskan anggota polis yang berusia 26 tahun itu sedang menjalani pembedahan menyambung semula anggota badan terbabit di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan dilaporkan stabil.
Jelas Shazeli, mangsa pada mulanya dibawa ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan awal sebelum dibawa ke HKL bagi menjalani pembedahan terbabit.
“Insya-Allah, saya minta kita semua doakanlah supaya dapat disambungkan sebab dia sedang menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur dalam usaha untuk menyelamatkan tangannya,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.
Suspek Serang Orang Ramai Termasuk Anggota KKM & Bomba
Mengulas mengenai kejadian itu, Shazeli mendedahkan pihaknya menerima maklumat dari orang awam berhubung seorang lelaki yang berada dalam keadaan tidak stabil dan mengamuk di sebuah kediaman di Desa Amanpuri.
Susulan itu, sepasukan anggota bersama anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memeriksa keadaan.
“Kira-kira 7 malam semasa dalam proses untuk melaksanakan tindakan ke atas maklumat berkenaan, apabila premis kediaman itu dibuka, satu individu dari dalam rumah meluru keluar dengan bersenjatakan dua bilah parang.
“Dia menyerang polis, bomba dan KKM yang sedang berada di hadapan pintu,” katanya.
Ada Anggota Bomba & KKM Turut Cedera Akibat Serangan
Tambah Shazeli, anggota polis itu mengalami kecederaan dan putus pergelangan tangan kanan selepas mempertahankan diri daripada serangan terbabit.
“Anggota lain terpaksa berundur bagi menyelamatkan diri, manakala suspek melarikan diri ke tingkat bawah pangsapuri berkenaan.
“Kita turut menerima maklumat bahawa anggota bomba dan petugas KKM mengalami kecederaan dalam kejadian itu, namun masih menunggu laporan kedua-dua agensi berkenaan bagi mendapatkan pengesahan,” jelasnya.
Suspek Ditembak Selepas Cuba Menyerang Buat Kali Kedua, Disahkan Meninggal Dunia Di Hospital
Suspek kemudiannya berjaya dikesan tidak jauh dari kediaman terbabit iaitu berhampiran sebuah taman permainan di antara jam 7.30 malam sehingga 8 malam.
“Dalam usaha membuat tangkapan ke atas suspek, dia sekali lagi menyerang pihak polis dengan bersenjatakan sebilah parang.
“Untuk mempertahankan diri dan membuat tahanan, pihak polis melepaskan beberapa das tembakan ke atas suspek,” katanya.
Suspek yang cedera kemudiannya dibawa ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia.
Jelas Shazeli, hasil semakan awal mendapati suspek dipercayai warga asing namun identiti serta butiran diri masih dalam proses pengesahan.
Sehingga kini, hanya seorang suspek terlibat dalam insiden itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan di kediaman serta lokasi tembakan.
Pergelangan Tangan Anggota Polis Berjaya Disambung Semula
Dalam perkembangan terbaharu, pergelangan tangan kanan anggota polis terbabit berjaya disambung semula setelah pembedahan kecemasan selesai pada jam 8.40 pagi tadi.
Anwar Kecam Serangan Terhadap Anggota Polis
Insiden terbabit turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar dalam satu hantaran di Facebook menjelaskan sebarang bentuk jenayah dan keganasan terhadap anggota penguat kuasa yang melindungi keselamatan rakyat tidak boleh diterima sama sekali.
“Tindakan tegas mesti diambil terhadap sebarang perbuatan jenayah tanpa mengira siapa pelakunya demi mempertahankan kedaulatan undang-undang serta menjamin keselamatan anggota penguat kuasa yang bertugas.
“Saya mendoakan agar anggota berkenaan segera diberi kesembuhan,” kata beliau.






