
PETALING JAYA – Di sebalik kecederaan serius dialami, seorang anggota polis, Lans Koperal Thierry Rodger anak Pendy tetap mengukir senyuman ketika dibawa ke bilik pembedahan bagi menjalani prosedur penyambungan semula tangannya di Hospital Kuala Lumpur (HKL) tengah malam tadi.
Momen tersebut dikongsikan menerusi gambar yang dimuat naik Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly di Facebook beliau sebentar tadi.
Lebih membanggakan, prosedur penyambungan semula tangan atau hand replantation itu berjaya dilakukan pasukan pakar HKL menerusi pembedahan selama lapan jam yang memerlukan ketelitian tinggi menggunakan mikroskop pembedahan.
Hantaran tersebut kemudian mendapat pujian ramai pihak di atas semangat luar biasa anggota berkenaan sebelum menjalani pembedahan kritikal.
“Terbaik polis macam ini, tangan putus masih boleh senyum, moga diberi penghargaan dan ganjaran oleh pihak PDRM dan kerajaan,” kata Syafiq.
“Tahniah kepada semua yang terlibat dan berjaya melakukan pembedahan penyambungan semula tangan Lans Koperal Thierry Rodger. Hebat semua, syabas dan terima kasih dari kami semua rakyat Malaysia,” komen Shahrul Effandi.
“Jauh anak Sarawak mempertahankan keamanaan negara,” kata Ahmad Ebak Malik.
Terdahulu, Dzulkefly dilaporkan berkata, beliau merakamkan penghargaan kepada pasukan Pakar Subkepakaran Anggota Atas dan Mikrosurgeri yang diketuai Dr. Allan Ravi Rajagopal dan Dr. Aziz Sabbir Husain atas kejayaan melaksanakan prosedur berkenaan.
Menurutnya, kejayaan itu turut melibatkan kerjasama pasukan Neurosurgeri HKL yang merawat kecederaan di bahagian kepala anggota polis terbabit.
Semalam, Kosmo! melaporkan Thierry sebelum ini cedera parah selepas pergelangan tangan kanannya putus ditetak seorang lelaki asing bersenjatakan dua bilah parang dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Desa Aman Puri, Kepong, kira-kira pukul 7 malam. – KOSMO! ONLINE
The post Lans Koperal putus tangan sempat senyum sebelum ke bilik bedah appeared first on Kosmo Online.






