Anggota Rela tidak mengaku amang seksual kanak-kanak

18 Nov 2026 • 2:37 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Anggota Rela tidak mengaku amang seksual kanak-kanak

KUALA LUMPUR: Seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang kana-kanak, awal bulan lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohamad Afiq Affendy, 31, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Muhammad Ilmami Ahmad.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berumur 5 tahun 9 bulan di sebuah unit kediaman di Jinjang Utara, Sentul, di sini, pada pukul 7 malam, 1 November lalu.

Pendakwaan dikemukakan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Pervinah Mohamad Yusof tidak mencadangkan sebarang jaminan memandangkan kesalahan itu tidak boleh dijamin.

Namun, sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara, jaminan dicadangkan sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan lapor diri di balai polis berdekatan satu bulan sekali, menyerahkan pasport dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, peguam, Siti Hajar Aisyah Mohd Pozi yang mewakili Mohamad Afiq memohon pertimbangan bagi jaminan rendah atas alasan anak guamnya merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) bagi ketidakupayaan intelektual.

Katanya, tertuduh yang berpendapatan rendah juga mempunyai tanggungan isteri dan seorang anak berumur 1 tahun.

“Anak guam berjanji tidak akan mengganggu saksi pendakwaan dan dia akan tinggal berasingan dari isterinya sepanjang kes berjalan,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan Mohamad Afiq diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.

Lelaki itu turut dikenakan syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 27 Januari ini. – UTUSAN

The post Anggota Rela tidak mengaku amang seksual kanak-kanak appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved