
KANGAR – Seorang anggota risik Maritim Malaysia (APMM) maut manakala tiga lagi rakan setugasnya cedera ketika menjalankan operasi pemantauan dan kawalan sempadan di perairan Sungai Padang, dekat sini tengah malam tadi.
Mangsa dikenal pasti sebagai Laskar Kanan Maritim (Teknikal) Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan yang bertugas di Unit Perisikan, Ibu Pejabat Maritim Kedah dan Perlis.
Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah malam ketika Allahyarham bersama tiga lagi anggota sedang menjalankan operasi di kawasan perairan berkenaan.
Bagaimanapun, punca sebenar kejadian serta tahap kecederaan tiga anggota terbabit masih belum dapat dipastikan.
Sementara itu, Ketua Pengarah serta seluruh warga APMM menerusi satu kenyataan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Mohd Roshaimi.
Difahamkan, Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan dua cahaya mata masing-masing berusia 14 dan 11 tahun.
Jenazah Mohd Roshaimi dijangka dibawa pulang ke kampung halamannya di Kuala Nerang, Kedah, hari ini selepas proses bedah siasat selesai. – KOSMO! ONLINE
The post Anggota risik APMM maut ketika operasi, 3 rakan cedera appeared first on Kosmo Online.






