Anggota TDM tertembak rakan, tidak sedar mangsa di belakang sasaran

13 Aug 2026 • 12:23 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

terkini

PETALING JAYA: Anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang terlibat dalam insiden tertembak rakan sendiri dipercayai tidak menyedari mangsa berada di belakang sasaran ketika sesi latihan.

Cawangan Komunikasi Strategik Markas Tentera Darat berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2.15 petang semalam itu, mangsa, Truper Muhammad Akhmal Shahrudin mengalami kecederaan pada bahagian pipi kanan sehingga menembusi rahang bawah kiri.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika seorang lagi anggota sedang melaksanakan latihan kering sebelum melepaskan tembakan ke arah sasaran pada jarak 25 meter.

“Anggota berkenaan tidak menyedari bahawa mangsa masih berada di belakang sasaran tersebut.

“Kejadian berlaku ketika sesi latihan menembak bagi persiapan pertandingan Ujian Kemahiran Menembak Tentera Darat (UKMTD) di Lapang Sasar 75 Meter, Menyala, Port Dickson, Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, mangsa dikejarkan ke Hospital Port Dickson untuk mendapatkan rawatan awal bagi menghentikan pendarahan.

“Hasil pemeriksaan doktor mendapati tiada sebarang kecederaan dalaman. Keadaan anggota ketika ini stabil dan beliau ditidurkan untuk rawatan lanjut,” katanya.
Seorang anggota tentera dilaporkan cedera selepas disyaki terkena tembakan yang dilepaskan rakannya ketika berada di lapang sasar dekat Sungai Menyala, Port Dickson, petang semalam.
Memetika laporan sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasharudin Mohd Shariff berkata, mangsa cedera di muka dan kini dirawat di Hospital Tuanku Jaafar di sini dengan keadaanya dilaporkan stabil.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 337 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, TDM berkata, pihaknya memandang serius insiden berkenaan dan akan menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian.

“Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman, turut melahirkan rasa dukacita terhadap insiden berkenaan serta mendoakan agar mangsa dipermudahkan segala urusan sepanjang proses rawatan dan pemulihan,” katanya.

TDM pada masa sama menyeru semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada pihaknya menjalankan proses siasatan secara telus dan adil. – UTUSAN

The post Anggota TDM tertembak rakan, tidak sedar mangsa di belakang sasaran appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved