SEREMBAN - Anggota tentera yang dikatakan melepaskan tembakan sehingga terkena rakan setugas di lapang sasar dekat Hutan Menyala, Port Dickson, petang Rabu direman selama tiga hari.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner, Mohd Nasharudin Mohd Shariff berkata, suspek berusia 20-an direman bermula pada 13 Ogos hingga 15 Ogos ini.
"Permohonan reman terhadap suspek dibuat pagi ini di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Seremban, Noor Shazziera Safaruddin bagi melengkapkan siasatan,"katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Mengulas mengenai keadaan mangsa yang juga berusia 20-an, Mohd Nasharudin berkata, anggota tentera itu berada dalam keadaan stabil dan sedang dirawat di Hospital Tuanku Jaafar, di sini.
Jelasnya, pihaknya turut merampas satu senjata api yang digunakan dengan kejadian itu.
"Tapi tak perlulah saya dedahkan jenis senjata berkenaan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 337 Kanun Keseksaan. Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian ini," katanya.
Terdahulu, media melaporkan dalam kejadian kira-kira jam 2.15 petang Rabu itu, mangsa mengalami kecederaan di muka selepas terkena tembakan yang dilepaskan seorang rakan sepasukan.






