Seorang anggota tentera didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas pertuduhan menganiaya anak perempuannya yang berusia lima tahun dengan menyepaknya di sebuah restoran pada minggu lalu.
Tertuduh, Mohamed Nisa Mohamed Nasir, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Advertisement
KOSMO/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN Mengikut pertuduhan, Mohamed Nisa yang merupakan bapa kandung kepada kanak-kanak perempuan berusia lima tahun tiga bulan itu didakwa menganiaya mangsa dengan cara menyepaknya menggunakan kaki.
Kejadian didakwa berlaku di Restoran Baan Suwarin, Batu 2, Jalan Kuala Krai kira-kira pukul 10.55 malam pada 11 September 2026.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syazalia Che Suhaimin manakala tertuduh diwakili peguam, Zuhaidie Akmal Hasan Basri.
Tular Tendang Anak Perempuan Di Restoran, Lelaki 40-an Serah Diri Kepada Polis
Pihak pendakwaan sebelum itu tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana kes tersebut melibatkan kanak-kanak dan terdapat kemungkinan tertuduh berhubung dengan mangsa.
Bagaimanapun, pihak pembelaan memohon jaminan rendah dengan alasan tertuduh merupakan penanggung tunggal keluarga serta menjaga isteri dan tiga orang anak.
“Tertuduh bekerja sebagai anggota tentera manakala isterinya tidak bekerja. Isteri tertuduh merupakan pesakit buah pinggang tahap lima dan memerlukan rawatan hemodialisis secara berkala iaitu dua hingga tiga kali seminggu di hospital.”
Peguamnya turut berkata tertuduh bukan seorang pendera atau melakukan keganasan rumah tangga, selain memaklumkan kanak-kanak yang dikatakan mangsa turut hadir ke mahkamah.
Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta beberapa syarat tambahan.
Mahkamah menetapkan 22 Oktober depan untuk sebutan semula kes.
Terdahulu, tular sebuah video memaparkan seorang lelaki didakwa bertindak kasar dengan menyepak seorang kanak-kanak perempuan dipercayai anaknya di sebuah restoran masakan ala Thailand di Telipot.
Video berkenaan dimuat naik oleh pemilik premis menerusi Facebook sebelum tersebar luas di media sosial. – KOSMO ONLINE
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

Tular Tendang Anak Perempuan Di Restoran, Lelaki 40-an Serah Diri Kepada Polis
The post Anggota Tentera Didakwa Sepak Anak 5 Tahun Di Restoran, Mengaku Tidak Bersalah first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.





