
PETALING JAYA: Seorang anggota tentera dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas pertuduhan menganiaya dengan menyepak anak bongsu perempuannya berusia lima tahun di sebuah kedai makan, Jumaat laluTertuduh yang berusia 40 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Ablah, menurut Berita Harian.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa menganiaya kanak-kanak perempuan berusia lima tahun tiga bulan di sebuah kedai makan di Jalan Kuala Krai pada 10.55 malam Jumaat lalu.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syazalia Che Suhaimin manakala tertuduh diwakili peguam Zuhaidie Akmal Hasan Basri.
Pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan mangsa adalah anak kandung tertuduh dan kes dianggap serius.
Zuhaidie Akmal pula memohon jaminan minimum ditawarkan memandangkan anak guamnya seorang anggota tentera yang perlu menyara tiga anak serta isteri yang mempunyai penyakit kanser serta buah pinggang kronik.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap dua bulan, perlu menyerahkan pasport dan tidak boleh mengganggu saksi serta mangsa.
Sebutan semula kes ditetapkan 22 Oktober.






