
KUALA LUMPUR – Anggota tentera yang ditahan selepas dipercayai membawa sepucuk pistol, puluhan butir peluru dan cecair disyaki ketum di Kem Sungai Besi pada 29 September lalu, berada dalam tempoh peralihan sebelum bersara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, siasatan lanjut masih dijalankan berhubung kes berkenaan.
“Dia memang dalam peralihan. Maknanya memang sudah masuk masa untuk bersara, peralihan antara sebagai anggota menjadi orang awam.
“Jadi, dia ada tempoh enam bulan itu, dia melalui satu tempoh peralihan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Kempen Tabung Pahlawan 2026/2027 di Wisma Perwira Kementerian Pertahanan, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai pemilikan pistol dan peluru yang ditemukan, Mohamed Khaled berkata, beliau tidak mempunyai maklumat sama ada senjata serta peluru berkenaan milik Tentera Darat Malaysia (TDM) atau sebaliknya.
Terdahulu, media melaporkan lelaki berusia lingkungan 30-an itu telah dituduh di Mahkamah Jalan Duta, di sini, pada 8 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud dilaporkan berkata, pertuduhan dibuat selepas kertas siasatan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dan arahan untuk menuduh suspek diperoleh.
Suspek berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 8 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
Pada 3 Oktober lalu, media melaporkan penahanan lelaki terbabit di kawasan parkir kenderaan dalam Kem Sungai Besi pada 29 September.
Suspek dipercayai membawa sepucuk pistol, puluhan butir peluru serta cecair disyaki ketum ketika ditahan.
Pemeriksaan lanjut mendapati lelaki berkenaan mempunyai tiga rekod jenayah lampau, membabitkan dua kes berkaitan dadah dan satu kes jenayah. – KOSMO! ONLINE
The post Anggota tentera ditahan bawa pistol, ketum dalam tempoh peralihan bersara appeared first on Kosmo Online.






