
KUALA LUMPUR, 3 OKT: Seorang anggota tentera ditahan bersama sepucuk pistol, puluhan butir peluru dan cecair disyaki ketum di kawasan parkir kereta di sebuah kem tentera di sini, Selasa lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras Supt Lim Chun How berkata lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, jam 12.42 tengah malam.
“Hasil semakan mendapati anggota tentera itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan dua kes dadah dan satu kes jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata anggota terbabit direman lima hari hingga hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan tempoh reman itu dilanjutkan lima hari lagi hingga 8 Oktober.






