
PASIR PUTEH – Hasrat pengunjung di Pantai Bisikan Bayu, Semerak di sini untuk menikmati suasana tenang bertukar bimbang apabila terpaksa berdepan sekumpulan anjing liar yang berkeliaran dan menyalak di kawasan peranginan berkenaan.
Lebih meresahkan, sekumpulan anjing yang boleh mencecah lebih 10 ekor dilihat berkeliaran terutama pada awal pagi dan lewat senja ketika orang ramai keluar beriadah termasuk berjalan kaki (briskwalk)
Seorang pengunjung, Ismail Ahmad, 44, berkata, kehadiran anjing liar itu semakin membimbangkan kerana terdapat pengunjung yang pernah dikejar haiwan terbabit.
“Bayangkan kalau datang bersama anak kecil dan tiba-tiba dikejar anjing. Sudah tentu ibu bapa akan panik dan keselamatan anak-anak juga menjadi kebimbangan.
“Ada yang datang untuk ‘brisk walk’ pada awal pagi atau lewat petang. Apabila ternampak kumpulan anjing, mereka terpaksa mengubah laluan atau menjauhkan diri,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Ismail berkata, keadaan itu tidak sepatutnya dibiarkan berlarutan kerana Pantai Bisikan Bayu merupakan antara lokasi riadah yang sering menjadi tumpuan penduduk dan pengunjung luar.
Sementara itu, seorang pemancing, Adli Ismail, 50, berkata, keadaan berkenaan boleh menimbulkan risiko sekiranya anjing terbabit bertindak agresif terhadap manusia.
Katanya, anjing yang dipercayai dibuang di kawasan berkenaan mungkin membiak menyebabkan jumlahnya semakin bertambah.
“Dalam satu kumpulan sahaja kita boleh nampak kira-kira 10 ekor tolonglah pihak berwajib lihat isu ini dan atasi segera,” ujarnya.
The post Anjing liar Pantai Bisikan Bayu cepat membiak appeared first on Kosmo Online.






