Anker Soundcore P41i Dilancarkan Dengan Bateri Sehingga 8 Hari

TechnologyDigital
29 May 2025 • 5:20 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Fon telinga nirwayar secara lazimnya hanya mempunyai hayat bateri sekitar 2 hari sahaja dengan bantuan pod pengecas. Bagi mereka yang tidak begitu rajin mengecas fon telinga, Anker Soundcore P41i telahpun dilancarkan dengan ketahanan bateri melampau sehingga 8 hari.

image is not available

Ketahanan bateri yang panjang ini dicapai dengan bantuan pod pengecas yang dilengkapi bateri 3000 mAh. Pod pengecas fon telinga biasanya hanya sebesar 500 mAh. Dengan ini Anker Soundcore P41i juga boleh digunakan sebagai powerbank kecemasan dengan ia mempunyai kabel USB-C terbina terus pada pod pengecas merangkap tali untuk disangkut pada pergelangan tangan.

Di bahagian dalam pod terdapat penyesuai USB-C ke Lightning untuk pengguna iPhone model lama. Pod pengecas yang sama ini juga mempunyai fungsi ketiga sebagai cagak meletakkan telefon pintar. Seperti semua produk Anker baharu, Soundcore P41i mempunyai skrin LCD menunjukkan tahap bateri, tahap bateri fon telinga, indikator bluetooth dan indikator untuk pengecasan.

image is not available

Ia masih lagi sepasang fon telinga dengan setiap putik boleh beroperasi selama 10 jam dengan ANC dan 12 jam tanpa ANC. Pemandu audio 11 mm digunakan dan sistem ANC adaptif disertakan. Selain itu fon telinga melepasi piawaian IPX5 serta boleh ditambat dengan mudah menerusi ciri Google Fast Pair.

Anker Soundcore P41i dijual pada harga £89.99 (~RM 513) dalam pilihan warna putih dan hitam.