liza14/10/2026 - 17:16 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 14 Okt – MCE Holdings Berhad memperoleh kontrak baharu bernilai kira-kira RM23.29 juta untuk membekalkan komponen elektronik automotif kepada sebuah pembekal komponen automotif berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MCE berkata kontrak itu diperoleh menerusi anak syarikat milik penuhnya, Multi-Code Electronics Industries (M) Berhad, pada 14 Oktober 2026 bagi membekalkan komponen elektronik automotif, termasuk unit kawalan elektronik paparan (Display ECUs), untuk program kenderaan di AS.
“Bekalan komponen berkenaan dijangka bermula pada tahun kewangan berakhir 31 Julai 2027 dan berlangsung selama 60 bulan atau lima tahun, tertakluk kepada program serta jadual pengeluaran pelanggan,” katanya dalam makluman tersebut.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan MCE, Datuk Wira Dr Goh Kar Chun berkata, projek itu akan membantu memperluas kedudukan kumpulan dalam pasaran AS, selain menambah rangkaian program jangka panjang yang menyokong pertumbuhan hasil lebih mampan.
“Projek ini mengukuhkan kedudukan kami dalam pasaran AS dan menambah rangkaian program jangka panjang, sekali gus menyokong pertumbuhan hasil yang lebih mampan,” katanya.
Perkukuh kedudukan dalam pasaran AS
Beliau berkata, kontrak berkenaan turut mencerminkan peningkatan daya saing elektronik automotif yang dibangunkan di Malaysia serta keupayaan syarikat memenuhi piawaian ketat pengeluar kenderaan antarabangsa.
Menurutnya, keupayaan memenuhi keperluan pengeluar kenderaan antarabangsa menjadi antara aspek penting dalam menyokong perkembangan perniagaan kumpulan di pasaran luar negara.
MCE merupakan pembekal automotif Tahap 1 dari Malaysia yang mengkhusus dalam reka bentuk, kejuruteraan dan pembuatan komponen elektronik serta mekatronik automotif.
Kumpulan itu mempunyai rangkaian perniagaan global yang merangkumi Jepun dan India, selain mengeksport produknya ke pasaran Asia, benua Amerika, Timur Tengah dan Australia.
Pelaburan dianggarkan RM754,000
Berdasarkan anggaran jumlah pengeluaran semasa pelanggan, projek itu dijangka menjana hasil keseluruhan kira-kira RM23.294 juta sepanjang tempoh pembekalan lima tahun, dengan kos pelaburan dianggarkan sebanyak RM754,000.
Bagaimanapun, anggaran hasil berkenaan tertakluk kepada jumlah pesanan sebenar, program dan jadual pengeluaran pelanggan, permintaan pasaran serta faktor berkaitan yang lain.
Projek itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham kumpulan sepanjang tempoh pembekalan berkenaan.
Kumpulan itu turut memaklumkan projek tersebut terdedah kepada risiko operasi dan komersial biasa, termasuk perubahan jumlah pesanan sebenar, jadual pengeluaran pelanggan, keadaan rantaian bekalan serta kos bahan mentah dan komponen.
Sehubungan itu, MCE akan mengambil langkah sewajarnya untuk mengurangkan risiko berkenaan setakat yang boleh dilaksanakan.
Lembaga Pengarah MCE berpandangan bahawa projek itu adalah demi kepentingan terbaik kumpulan.
Syarikat turut mengesahkan bahawa tiada pengarah, pemegang saham utama atau individu yang mempunyai kaitan dengan mereka mempunyai kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam projek berkenaan.- DagangNews.com





