liza14/10/2026 - 18:17 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 14 Okt – Epicon Berhad menerusi anak syarikat milik 70 peratusnya, Concrete Empire Sdn Bhd (CESB), memperoleh subkontrak bernilai RM47.38 juta bagi membekalkan komponen konkrit pratuang untuk projek sambungan Lebuhraya Pantai Baharu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Epicon berkata CESB menerima surat penerimaan tawaran (LoA) daripada IJM Construction Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh IJM Corporation Berhad pada 14 Oktober 2026.
Kontrak itu melibatkan pembekalan komponen konkrit pratuang yang dikenali sebagai ‘precast segmental crosshead’ bagi projek penswastaan sambungan Lebuhraya Pantai Baharu.
Komponen berkenaan merupakan struktur konkrit yang digunakan dalam pembinaan jambatan untuk menyokong bahagian struktur di atas tiang. Ia dibentuk terlebih dahulu sebelum dipasang di tapak pembinaan.
Kerja dijangka bermula November ini
Menurut Epicon, kerja subkontrak itu dijangka bermula pada pertengahan November 2026 dan selesai pada penghujung November 2028.
Tempoh pelaksanaan yang dianggarkan sekitar dua tahun itu membabitkan pembekalan komponen berkenaan mengikut skop kerja yang ditetapkan dalam kontrak.
Dijangka menyumbang kepada prestasi kewangan kumpulan
Epicon berkata penerimaan kontrak itu dijangka memberi sumbangan positif kepada hasil, pendapatan dan aset bersih kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaannya.
Bagaimanapun, syarikat tidak menyatakan anggaran keuntungan khusus yang bakal diperoleh daripada kontrak berkenaan.
Dari segi struktur pemilikan, penerimaan kontrak itu tidak dijangka memberi kesan terhadap modal saham Epicon atau pegangan saham pemegang saham utamanya.
Tiada kelulusan pemegang saham diperlukan
Epicon turut memaklumkan bahawa tiada pengarah, pemegang saham utama atau individu yang mempunyai hubungan dengan mereka memiliki kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam penerimaan kontrak tersebut.
Selain itu, penerimaan surat tawaran berkenaan tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham syarikat atau mana-mana pihak berkuasa kawal selia yang berkaitan.
Syarikat juga tidak menjangkakan sebarang risiko material daripada kontrak itu, selain risiko operasi biasa yang berkaitan dengan pelaksanaan kerja serta risiko perniagaan dalam industri berkenaan.
Epicon berkata langkah sewajarnya akan diambil bagi meminimumkan risiko tersebut sepanjang tempoh pelaksanaan kontrak.- DagangNews.com






