Antara ihsan dan ancaman haiwan

14 Aug 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Antara ihsan dan ancaman haiwan

Islam mengajar umatnya supaya berakhlak baik terhadap seluruh makhluk ciptaan Allah, termasuk haiwan. Sikap menghormati dan menjaga kebajikan haiwan juga sebahagian daripada ajaran tersebut, termasuk terhadap anjing.

Dalam mazhab Syafii, anjing dikategorikan sebagai najis mughallazah. Namun, hukum kenajisan itu tidak bermaksud haiwan berkenaan boleh dilayan dengan buruk atau dizalimi. Ia merupakan penjelasan hukum berkaitan kenajisan serta kaedah penyuciannya melalui proses sertu.

Bagaimanapun, apabila wujud ancaman terhadap keselamatan manusia, tindakan sewajarnya perlu diambil bagi melindungi orang ramai.

Dalam riwayat hadis, terdapat beberapa jenis haiwan yang berbahaya dan disebut sebagai fawasiq, iaitu haiwan yang boleh mendatangkan mudarat serta dibenarkan untuk dibunuh. Antaranya berdasarkan maksud hadis: “Lima haiwan daripada kalangan haiwan fawasiq iaitu tikus, kala jengking, ular, gagak dan anjing ganas.”

Haiwan berkenaan digolongkan sebagai fawasiq antaranya kerana sifatnya yang boleh membawa bahaya kepada manusia. Kucing pula tidak termasuk dalam kategori tersebut kerana secara umumnya tidak mendatangkan ancaman kepada manusia.

Namun, penyataan dalam hadis itu tidak bermaksud hanya lima jenis haiwan berkenaan sahaja yang boleh dianggap bahaya. Haiwan lain yang terbukti mengancam keselamatan juga boleh difahami dalam kerangka yang sama berdasarkan mudarat yang ditimbulkannya.

Anjing yang tidak mengancam keselamatan atau mendatangkan bahaya lazimnya dibiarkan hidup dalam persekitaran masyarakat. Malah, terdapat individu yang memberi makan dan membantu haiwan berkenaan. Keadaan berubah apabila kewujudannya mula menimbulkan risiko kepada keselamatan, kesihatan atau nyawa orang awam.

Tahap ancaman boleh dinilai berdasarkan beberapa keadaan seperti serangan terhadap penduduk, gangguan berterusan, kejadian gigitan atau kemungkinan membawa penyakit berbahaya. Rakaman yang menunjukkan serangan dan gigitan terhadap manusia juga memperlihatkan risiko tersebut bukan semata-mata andaian.

Apabila mudarat benar-benar wujud, prinsip syarak menetapkan kemudaratan perlu ‘dihilangkan’.

Dalam situasi sedemikian, keselamatan dan nyawa manusia perlu diberikan keutamaan tanpa bermaksud menghalalkan tindakan kejam terhadap haiwan.

Islam sebenarnya mengajar keseimbangan antara menjaga kebajikan haiwan dengan melindungi kepentingan manusia.

Kita tidak boleh menyakiti atau menzalimi haiwan tanpa sebab tetapi pada masa sama tidak wajar membiarkan keselamatan masyarakat terancam hanya kerana mahu mempertahankan haiwan.

Prinsip yang sama dapat dilihat dalam pengurusan wabak. Ada keadaan ayam perlu dimusnahkan apabila dijangkiti penyakit berbahaya.

Begitu juga ternakan seperti lembu atau khinzir mungkin perlu dilupuskan apabila wabak tidak dapat dikawal. Keputusan tersebut dibuat bagi mencegah penularan dan melindungi kepentingan awam.

Justeru, haiwan tetap perlu dilayan dengan baik selagi tidak mendatangkan bahaya. Namun, apabila anjing atau haiwan lain mula mengancam keselamatan manusia, tindakan perlu diambil secara bertanggungjawab bagi melindungi nyawa dan kesihatan masyarakat.

Sebarang tindakan pula hendaklah dilaksanakan secara terkawal serta mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. –UTUSAN

DR. MOHAMMAD NIDZAM ABDUL KADIR
Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Fakulti Ekologi Manusia,
Universiti Putra Malaysia (UPM)

The post Antara ihsan dan ancaman haiwan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved