Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, menyifatkan dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan usaha untuk menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan dan Tok Undang sebagai serangan peribadi terlalu keterlaluan, malah menganggapnya antara cabaran paling sukar yang pernah ditempuh sepanjang bergiat dalam arena politik.

Memetik laporan Sinar Harian, beliau berkata, tuduhan berkenaan hanyalah fitnah yang dimainkan sepanjang tempoh dua minggu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sehingga mencetuskan sentimen negatif dalam kalangan pengundi Melayu.
“Terdapat begitu banyak fitnah dan tuduhan tidak berasas yang mendakwa saya mahu merampas kuasa daripada kepimpinan Melayu, kononnya mahu menjadi Menteri Besar dan menguasai keseluruhan pentadbiran kerajaan negeri.
“Saya berdepan dan menentang segala pembohongan serta tuduhan tersebut. Namun begitu, kami terus bertahan dan berjuang sehingga saat-saat terakhir,” katanya, baru-baru ini.
Menurut Loke, segala tuduhan serta serangan yang dilemparkan terhadapnya sepanjang tempoh berkempen merupakan sebahagian daripada asam garam dunia politik yang perlu ditempuhi oleh setiap ahli politik.
Bagaimanapun, beliau mengakui masih terdapat segelintir pihak yang mempercayai dakwaan tersebut walaupun ia pada asalnya hanya bermula sebagai satu sindiran.
Mengulas keputusan pilihan raya itu, Loke berkata beliau tetap berbangga kerana berjaya memperoleh 47 peratus daripada keseluruhan undi, termasuk kira-kira 20 hingga 25 peratus sokongan pengundi Melayu, walaupun tewas dengan majoriti hanya beberapa ratus undi.

Katanya, kekalahan sekitar tiga peratus itu adalah sebahagian daripada proses demokrasi yang wajar dihormati dan diterima dengan hati terbuka.
“Saya menghormati keputusan itu. Tiada sebarang penyesalan kerana telah berjuang hingga ke penghujung. Kalau pun tewas, saya tewas dengan penuh maruah,” tambahnya lagi.
Artikel lain: Gagal pertahan DUN Chennah, Anthony Loke lepas jawatan Pengerusi DAP Negeri Sembilan
Untuk info, walaupun kehilangan kerusi Chennah dan Repah pada PRN kali ini, DAP masih berjaya mempertahankan sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan, iaitu Bahau, Nilai, Lobak, Temiang, Bukit Kepayang, Rahang, Mambau, Seremban Jaya dan Lukut.
Sumber: Sinar Harian



![[Keputusan Tidak Rasmi] PRN N9: Anthony Loke & Tok Min Kalah [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/08/anthony-loke-dan-tok-min-kalah.jpg?t=1785645142)


