Anthony Loke seorang yang berprinsip, saya ucap selamat maju jaya - Zahid

LocalPolitics
10 Nov 2026 • 7:02 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Anthony Loke seorang yang berprinsip, saya ucap selamat maju jaya - Zahid
Ahmad Zahid.

ALOR GAJAH - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan peletakan jawatan Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan sebagai tindakan seorang pemimpin yang berpegang teguh kepada prinsip.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau menghormati pendirian Setiausaha Agung DAP berkenaan dan mengucapkan terima kasih atas khidmat serta sumbangannya sepanjang menganggotai Jemaah Menteri.

Menurutnya, beliau juga akan merindui kehadiran Anthony dalam mesyuarat Kabinet memandangkan mereka sering duduk bersebelahan.

“Saya telah membaca kenyataan daripada beliau dan beliau juga telah meletakkan jawatan.

“Beliau seorang yang berprinsip dan memegang prinsip itu. Saya mengucapkan terima kasih sepanjang beliau berada sebagai anggota Jemaah Menteri.

“Kebetulan beliau duduk di sebelah kanan saya dalam mesyuarat Kabinet dan kami akan kehilangan beliau dalam Kabinet. Saya mengucapkan selamat maju jaya berada di luar Kabinet,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di sini pada Selasa.

Terdahulu, Anthony mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah.

Peletakan jawatan itu selaras dengan pendirian beliau sebelum ini yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib.

Sementara itu dalam perkembangan berasingan, Ahmad Zahid berkata, beliau berharap momentum positif pengundian awal PRN Melaka yang mencatatkan lebih 95 peratus keluar mengundi dapat diteruskan pada hari pengundian 14 November ini.

Katanya, pencapaian itu menghampiri sasaran yang diharapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan beliau berharap lebih ramai pengundi keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing.

“Jika trend ini berlaku dengan baik, kita harap pada 14 November nanti peratusan pengundi yang keluar mengundi lebih tinggi.

“Kita harap ini akan memberikan sokongan kepada usaha untuk membirukan seluruh negeri Melaka,” katanya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved