
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi DAP Negeri Sembilan.
Menurut Loke, keputusan tersebut dibuat bagi mengambil tanggungjawab susulan kegagalannya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 yang berlangsung Sabtu, 1 Ogos lalu.
Menteri Pengangkutan itu bagaimanapun menegaskan keputusan melepaskan jawatan yang dipangkunya selama 22 tahun itu dibuat tanpa tekanan daripada mana-mana pihak.
“Saya rasa sekarang tiba masa untuk saya berundur sebagai Pengerusi (DAP) Negeri dan menyerahkan kepada pimpinan negeri untuk melantik dan memilih daripada ahli jawatankuasa sedia ada,” katanya yang turut menyifatkan langkah itu bertujuan untuk menyerahkan tampuk pimpinan kepada pemimpin baru.
Pekara itu diumumkan Loke selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP di ibu pejabat kebangsaan DAP di Kuala Lumpur.
Tambah Loke lagi, beliau akan melepaskan jawatan secara rasmi usai mesyuarat Ahli Jawatankuasa Negeri Sembilan minggu ini.
“Saya mengambil tanggungjawab di atas kegagalan saya mempertahankan kerusi DUN Chennah dan (kubu kuat DAP) Repah.
“Walaupun ramai yang telah menyatakan sokongan mereka kepada saya (terus kekal dalam DAP Negeri Sembilan) dan kami berjaya mengekalkan sembilan daripada 11 kerusi, saya rasa ini adalah masa yang paling sesuai untuk melantik pengerusi baru.
“Peletakan jawatan akan berkuat kuasa apabila saya memanggil mesyuarat DAP Negeri Sembilan dalam minggu ini.
“Jadi, saya sekali lagi akan mempengerusikan mesyuarat untuk membuat usul untuk memilih pengerusi baharu. Keputusan itu akan dilaksanakan dalam beberapa hari yang akan datang, ” kata Loke.
DAP kekal dalam Kerajaan Perpaduan diputuskan 16 Ogos
Dalam pada itu Loke berkata, DAP akan mengadakan Persidangan Kebangsaan Khas pada 16 Ogos ini untuk menentukan masa depan parti sama ada akan terus kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal pentadbiran semasa atau tidak.
Jelasnya lagi, mesyuarat CEC yang diadakan malam ini telah memutuskan untuk membawa satu usul bagi membolehkan 4,000 perwakilan persidangan membuat keputusan mengenai perkara itu.
”Usul ini akan ditentukan sendiri oleh para perwakilan sama ada kekal atau tidak dalam kerajaan. Keputusan ini tidak dibuat oleh CEC, sebaliknya kita menyerahkan kepada kebijaksanaan perwakilan yang layak hadir pada Persidangan Kebangsaan itu.
“Kita memang ada membahaskan perkara ini tetapi CEC tak nak membuat apa-apa pendirian kerana yang penting ialah perwakilan kita kena buat keputusan itu.
“Jadi kita tak nak ada apa-apa pendirian untuk memandu keputusan perwakilan. Perwakilan ada kebebasan mutlak untuk membuat keputusan mereka kerana semua perwakilan akan dibekalkan kertas undi.”
[Keputusan Tidak Rasmi] PRN N9: Anthony Loke & Tok Min Kalah [Video]
Senarai Penuh Keputusan PRN Negeri Sembilan 2026






