Tatkala syarikat-syarikat AI kini dilihat menaikkan harga langganan dan memperkenalkan iklan dalam perkhidmatan mereka, Anthropic baru-baru ini telah mengeluarkan satu kenyataan menarik berkenaan realiti memperkenalkan teknologi baru dan pembangunan pusat data yang melibatkan penggunaan tenaga elektrik yang semakin meningkat.
Pembangun teknologi AI seperti Claude dan Opus tersebut mengatakan bahawa peningkatan penggunaan tenaga elektrik adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan, kerana penambahan pusat data memang akan menyebabkan perkara tersebut.

Akan tetapi, kenyataan tersebut juga mengatakan bahawa Anthropic akan menanggung peningkatan kos penggunaan tenaga elektrik di kawasan-kawasan di mana mereka tidak boleh membekalkan sumber bekalan elektrik mereka sendiri.
Mereka akan bekerjasama dengan syarikat atau badan pembekal kuasa elektrik untuk memastikan bahawa penggunaan kuasa oleh pusat data mereka tidak akan membebankan penduduk di sekitar kawasan kejiranan mereka. Mereka juga akan bekerjasama dengan rakan pusat data untuk memastikan bahawa penggunaan kuasa elektrik adalah lebih cekap dan tidak akan naik pada kadar yang mendadak.
Malah, Anthropic turut akan menanggung kos pembangunan teknologi baru, dan selagi mana boleh, mereka tidak akan meningkatkan harga langganan perkhidmatan AI mereka secara mendadak, ataupun memperkenalkan iklan dalam perkhidmatan mereka.




