Anthropic dan OpenAI Memperkenalkan Ejen Pengaturcaraan Terbaru Mereka

TechnologyDigital
6 Feb 2026 • 2:04 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Anthropic dan OpenAI ialah dua syarikat pembangun teknologi kecerdasan buatan yang tidak asing lagi, dimana Anthropic dikenali untuk perkhidmatan AI Claude, manakala OpenAI pula terkenal untuk bot AI ChatGPT mereka.

Terkini, kedua-dua syarikat telah memperkenalkan ejen pengaturcaraan terbaru mereka, yang mana kedua-duanya hadir dengan nama yang hampir sama. Pada awal minggu ini, OpenAI telah memperkenalkan kemaskini GPT 5.2 untuk Codex, ejen pengaturcaraan terbaru mereka yang kini dilihat bukan sahaja boleh menulis kod pengaturcaraan dengan sendiri, tetapi boleh membantu pengguna mengulas kod untuk mencari sebarang kerentanan ataupun kesalahan kod dengan lebih cepat dan mudah.

Beberapa hari selepas itu, Anthropic turut melancarkan ejen pengaturcaraan mereka sendiri yang dinamakan Opus 4.6, dimana ciri terbesar yang diperlihatkan olehnya ialah “agent teams” yang secara ringkasnya membolehkan Claude Code untuk memecahkan proses pembangunan sebuah perisian ataupun sistem kepada beberapa bahagian dan membangunkannya sekaligus, seperti menggunakan khidmat satu pasukan pengaturcara untuk membina sistem secara serentak.

image is not available

Walaupun fungsi ini diperkenalkan melalui kemaskini Opus 4.6, fungsi tersebut masih lagi berada dalam fasa ujian, dan terhad kepada pengguna API dan juga pelanggan-pelanggan yang menggunakan Claude.

Opus 4.6 juga mempunyai kemampuan untuk bukan sahaja memindahkan maklumat kedalam fail pembentangan Microsoft PowerPoint, tetapi juga mengubahsuai dan mereka pembentangan melalui perisian tersebut menggunakan bantuan AI, mempercepatkan proses persiapan pembentangan.

Ini juga merupakan tambahan kepada ciri baru Claude Opus 4.6 yang mana Anthropic mengatakan bahawa ia kini mampu menganalisa data dari laporan syarikat dan pasaran menyeluruh untuk menghasilkan laporan analisa kewangan dengan cepat dan tepat.

Tidak lama selepas itu, OpenAI telah memperbaharui Codex melalui kemaskini GPT 5.3-Codex. OpenAI mengatakan bahawa model ejen ini dibina dengan sendirinya tanpa input manusia, dimana ia mengaturcara programnya sendiri, mengulas kod tersebut juga secara sendiri dan menganalisa kodnya sendiri.

OpenAI turut mengatakan bahawa dengan kemaskini GPT 5.3, Codex juga dapat memahami konteks permintaan pengguna dengan lebih tepat apabila ia diminta untuk membina sebuah laman web dan memberi butiran yang lebih mendalam dengan mengekstrapolasi data yang diberikan tanpa input tambahan dari pengguna.