HP Memperkenalkan Program Langganan Untuk Komputer Riba Gaming Omen

TechnologyGaming
12 Feb 2026 • 2:59 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Banyak syarikat pengeluar komputer telah mengatakan bahawa mereka akan dipaksa untuk menaikkan harga penawaran komputer mereka kerana isu kekurangan memori dan storan yang sedang membelenggu dunia, diakibatkan oleh sektor AI yang sentiasa memerlukan jumlah memori yang banyak.

image is not available

Terkini, HP baru sahaja mengumumkan sebuah program langganan untuk siri komputer gaming HP Omen mereka, yang membolehkan pengguna untuk menyewa komputer-komputer tersebut untuk digunakan.

Program langganan ini membolehkan pengguna untuk menyewa komputer komputer riba gaming HP Omen yang dilihat hadir dengan spesifikasi berkuasa, dengan pilihan cip pemprosesan AMD Ryzen dan Intel Core Ultra terbaru dan juga kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4000 dan RTX 5000 yang berkuasa.

image is not available

Komputer riba yang ditawarkan termasuklah HP Victus 15, HP Omen 16, HP Omen 17 dan HP Omen Max 16 dengan spesifikasi paling berkuasa merupakan gabungan CPU Intel Core Ultra 9 dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5080.

Langganan komputer riba HP Omen ini adalah untuk pengguna di Amerika Syarikat sahaja buat masa ini, dan hadir dengan cubaan satu bulan, dan komitmen untuk sekurang-kurangnya setahun pada harga bermula $49 sehinggalah $129 setiap bulan.

image is not available

Pengguna yang menggunakan perkhidmatan langganan ini untuk sekian lama boleh memilih untuk menaiktarafkan komputer riba mereka sekiranya mereka ingini, tetapi akan perlu memulangkan komputer riba sedia ada kepada pihak HP sebelum komputer riba baru dihantar.

Sayangnya, melihat kepada laman web tersebut, HP tidak menawarkan sebarang kemampuan untuk memiliki komputer riba sedia ada, dan masih akan perlu membayar langganan walaupun secara teknikalnya langganan tersebut telah melangkaui tanda harga komputer riba yang disewa.