
PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pegawainya menghulurkan bantuan segera kepada dua wartawan yang terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan membuat liputan program di Bagan Datuk, Perak awal pagi tadi.
Dua wartawan terbabit ialah Nur Afiradina Arshad dari Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Zahratulhayat Md Arif dari New Straits Times (NST).
Anwar berkata, beliau turut mendoakan agar urusan rawatan kedua-dua pengamal media itu dipermudahkan serta dikurniakan kesembuhan yang baik supaya dapat pulih seperti sediakala.
“Moga segala urusan mereka sekeluarga dipermudahkan dalam menghadapi ujian ini,” katanya menerusi hantaran di platform X hari ini.
Beliau turut berharap kedua-dua wartawan berkenaan diberikan kekuatan dalam menghadapi ujian itu, selain urusan keluarga mereka dipermudahkan.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan dua wartawan wanita cedera selepas kereta dinaiki mereka dipercayai dirempuh sebuah lori dari arah belakang di persimpangan lampu isyarat berhampiran Taman Kledang Permai awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira pukul 5.45 pagi itu berlaku ketika kedua-dua mangsa dalam perjalanan ke Bagan Datuk bagi membuat liputan program Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika kereta dinaiki kedua-dua mangsa berhenti di persimpangan lampu isyarat susulan lampu merah sebelum dirempuh sebuah lori dari arah belakang sehingga menyebabkan kenderaan itu berpusing.-KOSMO! ONLINE
The post Anwar arah bantuan segera kepada dua wartawan kemalangan appeared first on Kosmo Online.






